KAHERAH: Bukan tidak bersyukur atau berterima kasih, tetapi sekadar membenarkan 20 buah lori berisi ubat-ubatan dan makanan masuk ke Gaza, ia merupakan pertolongan yang tidak ikhlas.
Itu maklum balas dari dalam Gaza ketika dunia seolah-olah menganggap segala masalah di dalam semenanjung tersebut ketika ini selesai apabila 20 lori membawa bantuan dibenarkan masuk ke wilayah konflik berkenaan pada Sabtu lalu.
Kebenaran itu yang pertama dalam tempoh 15 hari selepas perang bermula pada 7 Oktober lalu, selepas lebih dua juta penduduk Gaza menderita kekurangan makanan, air bersih. elektrik dan ubat-ubatan akibat perang yang kini meragut lebih 4,000 nyawa warganya.
Seorang penduduk Gaza yang dihubungi berkata, sebelum perang tercetus sebanyak 500 buah lori membawa masuk barangan keperluan harian melalui lintasan Rafah.
“Itupun masih tidak cukup, jadi bayangkan bagaimana barangan daripada 20 buah lori boleh membantu rakyat Gaza? Ketika ini kami memerlukan lebih daripada 1,000 buah lori masuk ke Gaza setiap hari,” katanya
.
Beliau kemudian berkongsi satu video memaparkan seorang lelaki dikatakan wartawan di Gaza menyatakan hal yang sama, sekali gus mempersoalkan apakah objektif sebenar hanya 20 buah lori diizinkan masuk membawa barang bantuan ke Gaza.
“Adakah mereka benar-benar mahu menolong atau ada muslihat lain,” kata lelaki di dalam video itu.
Sabtu lalu, media utama mahupun platform media sosial di seluruh dunia rancak berkongsi berita, gambar kira-kira 20 buah lori membawa bantuan kemanusiaan yang dilihat memasuki Gaza.
Agensi Anadolu (AA) melaporkan Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa berkata, konvoi yang terdiri daripada 20 buah trak itu dalam perjalanan melalui pintu sempadan Rafah.
Menurut wartawan AA, proses memindahkan bantuan kemanusiaan daripada trak Mesir ke trak Palestin sedang giat dijalankan. – UTUSAN










