PASIR SALAK: “Mereka tidak pernah berpisah sejak lahir, seperti sudah ditakdirkan bersama sehingga akhir hayat. Sejak dari dalam rahim hingga ke liang lahad mereka kekal bersama.”
Itu kata Zalifah Abdull Karim, kakak kepada Nur Zuhaida dan kembarnya, Nur Shahidah, masing-masing berusia 33 tahun yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kampung Changkat Rambai, Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang di sini, kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas kereta jenis Perodua Kancil dinaiki kembar itu bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail.
Zalifah, 48, berkata, kedua-dua adik kembarnya itu seperti sudah ditakdirkan bersama sejak dari dalam kandungan ibu mereka sehingga meninggal dunia bersama.
Menurutnya, sejak lahir, Nur Zuhaida dan Nur Shahidah sentiasa bersama walau ke mana sahaja, tidak pernah berpisah dan menjaga emak mereka, Siti Masita Talkah, 75, di kampung di Changkat Lada, Seberang Perak di sini.
Katanya, malah kedua-duanya tidak memikirkan soal jodoh kerana tidak mahu berpisah.
“Bukan tak ada yang mahu meminang tetapi kedua-duanya saling memikirkan mereka akan berpisah jika berkahwin, jika berkahwin mereka mengikut suami.
“Mereka juga selalu kata kalau salah seorang daripada mereka berkahwin, bagaimana yang seorang lagi. Mereka juga tidak memikirkan soal berkahwin kerana mahu menjaga emak di kampung.
“Kami tak sangka akhirnya mereka memang tidak berpisah sehingga akhir hayat apabila meninggal pada hari yang sama dan dikebumikan di dalam satu liang lahad,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah mereka di Felcra Bandar Baru Seberang Perak, Kampung Gajah dekat sini.
Menurut Zalifah, dua adiknya itu bekerja di sebuah kilang di Lekir, dekat Sitiawan dan ketika kemalangan dalam perjalanan ke sebuah klinik di Tanjung Tualang untuk mendapatkan rawatan kerana seorang daripada mereka mengalami alahan.
Katanya, dia dan keluarga menerima panggilan mengenai kemalangan melibatkan adiknya pada kira-kira pukul 11 pagi.
Jelasnya, tiada sebarang perubahan ditunjukkan kedua-dua adiknya itu malah pagi sebelum kemalangan, mereka sempat berbual di telefon dan bergurau.
“Cuma mereka tak sempat berjumpa emak selepas kali terakhir berjumpanya kira-kira sebulan lalu kerana emak baru balik menunaikan umrah dan berada di rumah saya di Banting.
“Sukar untuk kami terima pemergian mereka namun kami harus reda atas apa yang berlaku,” katanya.
Jenazah kembar itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Lada, Seberang Perak selepas solat Isyak, kelmarin. – UTUSAN










