PUTRAJAYA: Selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Malaysia sekali lagi mengharungi proses demokrasi bagi Parlimen Kemaman ekoran keputusan mahkamah membatalkan kemenangan calon kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Untuk itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dengan menelan belanja kos sebanyak RM3.5 juta.
Sejumlah 141,790 pemilih terlibat yang terdiri daripada 141,382 orang pengundi biasa, 387 orang anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan, dan 12 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang akhbar semalam, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini manakala undi awal ialah pada 28 November 2023.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 November (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 1 Disember 2023 (Jumaat).
“SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tujuh orang Penolong Pegawai Pengurus dan menubuhkan lima Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Rentetan itu, pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.
Sebelum itu, PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri selepas Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu Pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.
Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz selepas pihak pempestiyen iaitu calon BN kerusi Parlimen itu, Mohd. Zubir Embong berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Dalam pada itu Abdul Ghani berkata, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kemaman ini adalah di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.
Katanya, seramai 2,102 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala sebanyak 53 buah pusat mengundi dan 248 saluran mengundi digunakan untuk tujuan ini. – UTUSAN










