JERANTUT: Usia lanjut tidak menghalang pasangan warga emas dari Perancis, Farget Guy, 77, dan isteri, Farget Claire, 70, meneroka hutan hijau Taman Negara Kuala Tahan di sini.
Pengembara dari Paris itu teruja dengan keindahan Taman Negara yang berusia lebih 130 juta tahun ketika mengakses maklumat pelancongan negara ini menerusi laman sesawang Tourism Malaysia, ejen pelancongan di Eropah serta pameran promosi yang pernah diadakan di Perancis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guy berkata, selain berjalan kaki’ melakukan aktiviti rekreasi dan riadah, dia juga berpeluang bermalam di Gua Kepayang Besar berdekatan Kuala Keniam yang kerap menjadi tumpuan pengembara Eropah.
“Dengan diiringi pemandu alam sekitar Kuala Tahan, Tajuddin Mat Amin yang sangat peka dan cekap dengan suasana hutan, kami berjalan hampir 10 kilometer dari Kuala Keniam untuk sampai ke Gua Kepayang Besar setelah menaiki bot Sungai Tembeling dan melalui anak Sungai Keniam.
“Saya dan isteri teruja apabila dapat menikmati keindahan gua ini yang sangat luas sambil memanaskan badan berdekatan unggun api, menikmati makanan, mendengar bunyi pelbagai spesies serangga di dalam dan luar, kemudiannya tidur nyenyak hingga ke pagi,” katanya di Kuala Tahan di sini semalam.
Menurut Guy, dia dan isteri walaupun berasa letih setelah berjalan 10 kilometer untuk ke gua itu, tetapi terubat setelah dapat berehat dan bermalam dalam gua sambil melegakan badan dengan kedinginan air anak sungai kecil di luar gua.
“Hari kedua, kami merakamkan gambar dalam gua sambil memegang bendera Malaysia dan negeri Pahang menandakan kami cintakan alam sekitar negara ini khususnya hutan tropika Taman Negara sebelum kembali ke Perancis,” katanya.
Sementara itu, Tajuddin, 45, yang berpengalaman sebagai pemandu alam sekitar selama 25 tahun menjelaskan, Gua Kepayang Besar antara destinasi utama pelancong dari Eropah untuk bereksplorasi serta bermalam di situ sambil meneroka hutan tropika pada sebelah siang.
“Pasangan warga emas ini mengembara di hutan Taman Negara selama dua hari satu malam dan gua ini menjadi persinggahan mereka untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain sekitar Kuala Tahan sebelum pulang.
“Pelancong ini juga mampu berjalan kaki merentas hutan ke Kuala Terengganu ketika tiba di Kuala Tahan dan juga menaiki bot melawat perkampungan Orang Asli etnik Bateq yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling,” katanya.
Ujarnya, pasangan warga emas tersebut masih bertenaga walaupun usia lanjut mampu berjalan kaki menuruni lurah dan mendaki bukit, tetapi yang lucunya mereka agak ‘gerun’ apabila terserempak dengan longgokan najis gajah. –UTUSAN










