Kedah tetap tagih sokongan peminat

Kedah tetap tagih sokongan peminat

MANUEL Hidalgo (kiri) dan Ariff Farhan Md. Isa bergambar bersama peminat yang hadir ke sesi ramah mesra bersempena Hari Pelanggan Pos Malaysia di Pejabat Pos Besar Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini, sayap lincah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Hidalgo tetap mengharapkan penyokong tidak hilang kepercayaan kepada mereka bagi meraih kedudukan kedua Liga Super, sekali gus lolos ke pentas Asia, musim depan.

Menurut pemain dari Argentina itu, suasana dalam pasukan ketika ini tetap positif dengan setiap individu terus memainkan peranan masing-masing untuk kekal fokus melengkapkan empat perlawanan terakhir yang bakal menentukan kedudukan pasukan di akhir musim.

“Saya fikir sangat penting untuk para penyokong terus meletakkan kepercayaan kepada kami menjelang empat perlawanan terakhir ini. Walaupun musim ini kita gagal menjulang piala, tetapi harapan untuk layak ke pentas Asia masih ada dengan meraih kedudukan kedua liga.

“Rasanya matlamat itu boleh dicapai. Biarkan apa yang sudah berlaku dan kini kami perlu fokus terhadap cabaran mendatang, yang akan tentukan sama ada kami boleh beraksi di pentas lebih tinggi atau tidak musim depan,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama peminat sempena Hari Pelanggan Pos Malaysia di Pejabat Pos Besar, Alor Setar.

Mengulas kecederaan dialaminya, Hidalgo berkata, dia masih terasa sakit di buku lali setelah diterjah keras sewaktu aksi pertama Piala Cabaran menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching pada 19 September lalu.

“Walaupun sudah hampir sebulan, sakitnya masih terasa. Namun saya menetapkan sasaran untuk kembali beraksi apabila KDA menentang Negeri Sembilan pada 28 Oktober nanti.

“Tak seronok rasanya apabila anda cuma dapat melihat kawan-kawan berlatih dan beraksi dalam perlawanan sebenar tanpa dapat melakukan apa-apa. Tetapi keadaan kini sudah semakin baik dan saya amat berharap dapat diturunkan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super,” katanya.

Dalam pada itu, pertahanan kiri KDA FC, Ariff Farhan Md. Isa berkata, sokongan padu penyokong amat ditagih ketika para pemain mahu melaksanakan yang terbaik untuk memintas Selangor FC bagi meraih kedudukan kedua.

“Selepas ini kami akan bertemu Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor dan Sabah. Saya percaya, dua perlawanan terakhir itu akan menjadi cukup sengit kerana Selangor dan Sabah semua orang tahu merupakan antara pasukan gergasi dalam liga kita.

“Namun saya fikir ketua jurulatih, Nafuzi Zain ada perancangan untuk berdepan mereka. Kami sudah tidak mahu memandang ke belakang sebaliknya fokus hanya diberikan dalam latihan, agar kami mampu beraksi di pentas lebih tinggi musim depan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN