Kebun komuniti raih hampir RM3,000 sekali tuaian

Kebun komuniti raih hampir RM3,000 sekali tuaian

, Abdul Rahiman Alwi (kiri) menunjukan kepada Pengerusi Yayasan Perbandaran Kluang, Datuk Md Jais Sarday (kanan) sebahagian tanaman yang diusahakan melalui Projek Kolaborasi Kebun Komuniti Kejiranan Hijau Taman Makmur di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Meraih pendapatan hampir RM3,000 untuk hasil bertani di atas tanah terbiar kira-kira 0.4 hektar menjadi perangsang kepada penduduk di Taman Makmur dekat sini mengusahakan projek Kolaborasi Kebun Komuniti Kejiranan Hijau. 

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Makmur, Abdul Rahiman Alwi berkata, projek yang pada mulanya sebagai memenuhi masa lapang penduduk ketika Covid 19 itu memberikan inspirasi kepada pihaknya untuk menjadikan tanah lapang di taman perumahan mereka sebagai kebun komuniti. 

Katanya, susulan itu, pihaknya mendapatkan bantuan 400 anak pokok terung dan bendi dengan hasil tuaian pertama mencecah sehingga RM2,700 untuk tuaian pertama yang dijual kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang. 

“Walaupun sedikit berkurangan dalam tuaian kedua akibat daripada gangguan cuaca dan serangan serangga, penduduk bertindak memperkemaskan lagi sehingga memperoleh jualan sehingga 120 kilogram sekali tuaian. 

“Kini, kami mempelbagaikan lagi tanaman seperti cili sentil, kacang panjang serta membela ikan tilapia putih bagi membolehkan peningkatan hasil kepada tabung kamuniti penduduk taman perumahan ini,”katanya.

Abdul Rahiman berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran secara rasmi projek Kolaborasi Kebun Komuniti Kejiranan Hijau Taman Makmur oleh Pengerusi Yayasan Perbandaran Kluang, Datuk Md. Jais Sarday di sini hari ini. 

Menurut Abdul Rahiman lagi, melalui pelancaran ini, pihaknya turut mendapat bantuan tambahan 400 pokok terung daripada Yayasan Perbandaran Kluang (YPK) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia Daerah Kluang. 

Sementara itu, Md Jais dalam ucapannya berkata, lebih banyak lagi Kebun Komuniti Kejiranan Hijau akan diwujudkan di bandar Kluang ini bagi membolehkan setiap penempatan mempunyai tabung kewangan sendiri sebagai membantu kebajikan penduduk taman. 

Ujarnya, sehingga kini, sudah ada empat buah taman iaitu Taman Sri Kluang, Taman Kiaramas, Taman Makmur dan Kampung Abdul Rahman Yassin yang boleh dijadikan model perintis kepada projek Kolaborasi Kebun Komuniti Kejiranan Hijau ini. 

“Aktiviti ekonomi ini adalah satu bentuk program yang dijalankan menjurus kepada kecenderungan dan minat kelompok komuniti dalam satu-satu kawasan perumahan dan pada akhirnya secara tidak langsung berjaya menambahkan fasa pendapatan penduduk,”katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya