Kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan -Anwar

Kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan -Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sekali lagi menegaskan beliau tidak sesekali akan mencampuri urusan badan kehakiman sebaliknya memberi jaminan akan mempertahankan kebebasannya dengan apa cara sekali pun.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menekankan kepentingan badan kehakiman untuk bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa pada setiap masa.

Beliau berkata, badan kehakiman adalah benteng keadilan untuk memastikan kedaulatan undang-undang negara dipatuhi dan dilindungi pada setiap masa.

Katanya lagi, dalam lipatan sejarah negara, ada ‘kambing hitam’ dalam badan kehakiman yang bekerjasama dan berganding bahu dengan pihak tertentu melakukan pelanggaran berat terhadap institusinya sendiri.

“Ia membawa keburukan dan mencemarkan nama baik di satu pihak dengan menyebarkan kezaliman sewenang-wenangnya kepada pihak lain.

”Kedaulatan undang-undang menjamin bahawa kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut undang-undang. Mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakannya. 

“Kerajaan mesti telus dan ia penting mengikut prinsip kerajaan terbuka. Oleh itu, keputusan dan urusan meragukan tidak boleh digunakan untuk mengaburi mata rakyat atas nama Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang Asean (ALA) Ke-14 dan Persidangan Undang-Undang Asean 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara merangkap Presiden ALA Malaysia, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Anwar berkata, dasar yang menggalakkan dan menegakkan kesaksamaan jantina merentasi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan dan kepemimpinan mesti diperjuangkan.

Susulan itu, katanya, sumbangan dan potensi wanita perlu diiktiraf, selain diberi peluang yang sama untuk memimpin dan berinovasi.

“Bagi kanak-kanak, selain menjadi mangsa buruh paksa dan pemerdagangan, masih ramai yang terbabit dalam kerja berbahaya memudaratkan kesihatan, keselamatan dan perkembangan moral mereka.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan ruang selamat di mana minda mereka boleh berkembang dan haknya dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Tengku Maimun memberi jaminan bahawa badan kehakiman Malaysia, melalui prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan oleh kerjasama ASEAN akan terus mempertahankan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa berat sebelah bagi mana-mana pihak tertentu.

“Perdana Menteri sangat percaya dengan prinsip ini dan memberi sokongan bagaimana eksekutif dan badan kehakiman boleh terus melaksanakan undang-undang secara bebas antara satu sama lain.

“Adalah penting untuk menyedari bahawa walaupun rantau ASEAN dicirikan oleh sistem perundangan yang berbeza dan menggalakkan tadbir urus yang baik, namun, ia membentuk intipati landskap perundangan kita yang pelbagai,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya