Kebajikan, kualiti pendidikan luar bandar Sarawak perlu jadi fokus

Kebajikan, kualiti pendidikan luar bandar Sarawak perlu jadi fokus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kebajikan terhadap penyediaan pendidikan di Sarawak perlu menjadi fokus dalam Belanjawan 2024.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang berharap peruntukan lebih besar diberikan oleh kerajaan bagi memastikan semua sekolah daif yang ada di Sarawak dapat dipulihkan serta menyediakan akses internet menyeluruh khasnya di kawasan pedalaman luar bandar.

“Jumlah peruntukan yang lebih besar perlu diutamakan bagi memulihkan keadaan di semua sekolah daif bagi kelangsungan sektor pendidikan beroperasi dengan lancar.

“Selain itu, kerajaan harus mengambil kira pedalaman Sarawak yang sangat luas dan masih banyak kawasan yang amat sukar dihubungi, oleh itu pemasangan internet akses dengan penghubungan alat telekomunikasi ‘Starlink’ adalah satu keperluan dalam merangsang pendidikan khususnya di kawasan pedalaman negeri ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas harapan sektor pendidikan dalam Bajet 2024 yang dijadual dibentang bulan ini .

Dalam hal lain, beliau berharap agar cadangan kenaikan gaji penjawat awam khususnya mereka yang bergelar guru ini dapat dipertimbangkan.

“Sesungguhnya penjawat awam adalah nadi kepada pembangunan negara, sudah berpuluh tahun penjawat awam di negara ini menerima gaji yang minimum. Maka jika kita bandingkan dengan kos sara hidup sekarang, seharusnya kerajaan melakukan peningkatan terhadap upah dan gaji demi kelangsungan hidup.

“Kita (STU) menyokong sepenuhnya tuntutan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat agar cadangan kenaikan gaji penjawat awam dikaji semula dalam meningkatkan taraf hidup penjawat awam dengan gaji atau upah yang selari dengan kos hidup semasa,” tambahnya lagi.

Selain itu, saranan CUEPACS berkaitan perlaksanaan rebet diskaun 30% cukai kepada penjawat awam juga relevan khasnya kepada para guru yang mempunyai saran keluarga dan telah lama berkhidmat.

“Ini serba sedikit dapat meringankan beban pembayaran cukai berjadual setiap bulan dan lebihan wang itu boleh digunakan untuk membiayai yuran anak mereka di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

“Justeru, STU berharap agar kerajaan dapat mengimbangkan kualiti pendidikan sekali gus menjaga kebajikan para pendidik dalam pada masa sama memberikan kualiti pendidikan yang bertaraf tinggi kepada penuntut melalui pembangunan infrastruktur yang diberikan terutamanya di kawasan luar bandar,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN