Keadilan buat Najib terus dituntut tiga anak, penyokong

Keadilan buat Najib terus dituntut tiga anak, penyokong

TIGA anak Najib bersama penyokong dalam program 'Demi Najib, We Stand by You' di Kuala Lumpur. - FOTO TEAM NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak terutama dalam kalangan ahli keluarga dan para penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak terus berjuang menuntut keadilan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara.

Dalam satu program ‘Demi Najib, We Stand by You’ yang berlangsung malam tadi, di sini, tiga anak Najib, Datuk Mohd. Nizar, Datuk Mohd. Nazifuddin dan Nooryana Najwa berada pada pentas sama menuntut bapanya dapat diberikan ruang mendapatkan perbicaraan adil dan perlu dibebaskan.

Mohd Nizar berkata, Najib tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam rayuan akhir yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Tertuduh sepatutnya diberi ruang sepenuh-penuhnya dan seluas-luasnya untuk membela diri tetapi ini tidak berlaku dalam kes ayahanda.

“Saya menyeru dan merayu kepada Kerajaan Perpaduan agar perbetulkan sistem kehakiman kita. Kita tidak mahu mangsa-mangsa lain akan didakwa walaupun mereka tidak bersalah,” katanya dalam program yang dihoskan Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi.

Mohd Nazifuddin pula berkata, beliau mahu Kerajaan Perpaduan melakukan pembetulan moral agar rakyat di negara ini mendapat hak asasi manusia dalam menegakkan keadilan terutama melibatkan seorang bekas Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata, siapa akan percaya kepada Malaysia jika sanggup memenjarakan seorang bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, Nooryana berkata, lebih setahun dua bulan Najib menjalani hukuman penjara tetapi masih belum ada tindakan dalam memberikan keadilan kepada bapanya.

Yana juga kecewa apabila mendakwa Najib dinafikan hak dalam mendapatkan pembelaan.

“Sekarang di penjara mereka masih nak tekan lagi Datuk Seri Najib yang sedang hadapi tiga kes jenayah dan empat kes sivil,” katanya.

Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International.

Beliau masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya