GERIK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami kecederaan tisu lembut akibat dipukul di bahagian belakang badan oleh bapa kandungnya dalam kejadian di Kampung Perah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kejadian itu diterima selepas laporan polis dibuat ibu saudara mangsa pada pukul 5.50 petang.
“Kejadian sekitar pukul 5 petang itu berlaku selepas suspek berusia 37 tahun datang dan masuk ke rumah pengadu lalu menumbuk dan menendang anak lelakinya di bahagian belakang badan.
“Suspek juga bertindak agresif apabila melibas parang yang ada di tangannya hingga hampir terkena mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk rawatan dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha.
Berikutan itu katanya, bapa kanak-kanak terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Berdasarkan siasatan, kanak-kanak itu dibawa ibu saudaranya yang berusia 35 tahun ke rumah wanita itu semalam pada pukul 6 petang untuk menyambut hari lahir mangsa.
“Kanak-kanak itu bermalam di rumah ibu saudaranya dan akan dihantar pulang pada hari ini.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif suspek memukul anaknya hingga mengakibatkan kecederaan,” katanya. – UTUSAN