ALOR GAJAH: Ahli keluarga kepada empat mangsa dari Kampung Machap Baru di sini yang maut akibat tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022, reda dengan dapatan laporan menyatakan ia berpunca daripada hujan lebat lantas menyebabkan kegagalan cerun.
Bagaimanapun, kata Tai Yi Wei, 28, kepada Utusan Malaysia, tragedi itu mungkin tidak mengorbankan abangnya, Tai Chang Lin dan mendiang kakak iparnya, Yu Siew Pay serta dua anak mereka, sekiranya tapak perkhemahan terlibat tidak beroperasi tanpa lesen.
Katanya, dia dan keluarga terutama bapa, Tai Seng Fui, 63, sudah menerima hakikat bencana alam adalah sesuatu yang tidak boleh diramal atau dihalang.
Namun, katanya, ia tidak bermakna sikap tidak bertanggungjawab pihak yang mengendalikan tiga tapak perkemahan di lokasi berkenaan tanpa lesen sejak 2020 boleh diterima dengan menjadikan faktor alam sebagai alasan.
“Persoalan yang lebih penting adalah kalau tapak itu tidak dibuka dan beroperasi tanpa lesen selama hampir dua tahun. Adakah kesemua 31 mangsa yang terkorban akan ke situ? Kejadian tanah runtuh mungkin tetap berlaku, tetapi pastinya tidak akan mengorbankan sesiapa andai tapak perkhemahan itu tidak beroperasi,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tragedi tanah runtuh Batang Kali berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.
Perkara itu diperakui menerusi Laporan Siasatan Berkaitan Tragedi Tanah Runtuh di Batang Kali, Selangor yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2, kelmarin (Selasa)..
Tambah Yi Wei, keluarganya berharap kes itu tidak akan ditutup begitu sahaja selepas laporan tersebut dikeluarkan kerana ia bukanlah satu bentuk keadilan kepada semua mangsa terlibat.
“Perlu ada satu tindakan kepada semua pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini. Kenapa beroperasi secara haram? Tiada lesen tetapi beroperasi selama dua tahun, bagaimana ini boleh berlaku?,” soalnya. – UTUSAN










