NIBONG TEBAL: Seorang juruaudit wanita di sini, kerugian sebanyak RM1,486,750 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Ng Ah Thiam berkata, kejadian itu bermula pada Mei lalu semasa mangsa yang berusia 43 tahun itu sedang melayari satu laman Facebook.
Katanya, ketika itu, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan daripada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Yomaex Crypto Market Limited melalui pautan www.yomaex.com yang dipercayai berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS).
“Pengadu kemudian mengikuti pautan yang ada pada iklan tersebut dan seterusnya mendapat penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.
“Selepas mendapat penerangan itu, pengadu berminat untuk menyertainya sebelum membuat beberapa kali transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.4 juta ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket pelaburan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ah Thiam berkata, sehingga laporan polis mengenai perkara itu dibuat kelmarin, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Sungai Bakap dekat sini, gagal untuk mengeluarkan keuntungan serta wang modal yang dilaburkan.
Ujar beliau, mangsa bahkan secara berterusan telah diminta menambah wang pelaburan bagi membolehkan pengeluaran wang dapat dilakukan.
Sehubungan itu katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Dalam hal ini, polis menasihatkan orang ramai tidak mudah mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan seperti yang ditawarkan dalam media sosial.
“Untuk mendapatkan info tentang kes-kes jenayah komersial, orang ramai boleh mengakses Facebook Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPDSPS (Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan) di pautan http://www.facebook.com/bsjkdsps.
“Info lanjut juga boleh diperoleh daripada Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di pautan http://www.facebook.com/jsjkpenang serta Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di pautan
http://www.facebook.com/JSJKPDRM,” jelas beliau. – UTUSAN