Johor mahu ulang kejayaan memenangi Sukma, tahun depan

Johor mahu ulang kejayaan memenangi Sukma, tahun depan

MOHD. Hairi (tengah) bergambar bersama pasukan memanah dari Pulau Pinang di Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2023 yang diadakan di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor mahu mengekalkan status selaku kuasa sukan baharu tanah air dengan mengulangi pencapaian bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) dalam kejohanan yang bakal diadakan di Sarawak, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, hasrat itu selari dengan matlamat Johor menjadi hab sukan di negara ini.

“Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) giat menggerakkan pelbagai inisiatif dengan kerjasama persatuan sukan, sebagai contoh memanah dan berbasikal. Banyak program termasuk pertandingan diadakan yang turut menyaksikan penglibatan peserta antarabangsa.

“Jadi, saya lihat ini sebagai satu usaha yang baik dalam menyediakan bakat-bakat pelapis yang boleh mewakili negeri khususnya di kejohanan Sukma. Ini kerana Johor mahu kekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2023 di Taman Mutiara Rini, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bakal mengumumkan hasrat Johor untuk menjadi sebuah bandar sukan dalam masa terdekat.

September tahun lalu, Johor berjaya muncul juara keseluruhan Sukma ke-20 dengan memenangi 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Kejuaraan itu merupakan pertama kali buat skuad negeri sepanjang 36 tahun sejarah penganjuran kejohanan itu di negara ini.

Sementara itu, Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2023 menyaksikan seramai 361 peserta terlibat dengan penyertaan daripada pelbagai negeri termasuklah pasukan antarabangsa dari Indonesia dan Singapura.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN