PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima bantuan melibatkan peruntukan lebih RM2.4 bilion ringgit pada tahun 2024.
Bercakap dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukkan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 450,000 rakyat khususnya isi rumah miskin tegar, warga emas, kanak-kanak dan OKU.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, syarat kelayakan diperluas selaras dengan kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2023 iaitu RM1,198 ringgit sebulan.
Dalam pada itu, katanya, sebahagian pendapatan yang diraih hasil penjualan nombor plat khas akan dimanfaatkan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
“Iaitu yang pertama, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi bagi kebaikan lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.
“Yang kedua, sebanyak 100 ribu topi keledar termasuk untuk kanak-kanak dibekalkan untuk diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.
“Bagi yang ketiga, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman,” katanya.
Tambahnya, ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan bagi manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu pada tahun hadapan. – UTUSAN