JKM mohon kesan waris enam individu

JKM mohon kesan waris enam individu

GAMBAR enam individu yang berada di bawah jagaan JKM bagi mengesan waris masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sedang berusaha mengesan waris enam individu yang kini di bawah jagaan mereka yang diselamatkan di beberapa daerah dalam negeri ini.

Menurut Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat Kedah, Nor Asikin Ibrahim, enam individu berkenaan yang kini menghuni rumah kebajikan JKM gagal memaklumkan secara jelas mengenai waris mereka.

Selain itu, JKM turut melakukan semakan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara namun tiada rekod sepadan ditemukan bagi mengesahkan identiti penama.

“Kami ingin mengesan waris dua individu iaitu Zainol Husin dan Khalid Hassan yang dianggarkan berumur 66 serta 61 tahun. Kedua-dua mereka ditemukan berkeliaran di Bandar Alor Setar sebelum diselamatkan JKM pada 2006.

“Individu ketiga pula dikenali sebagai Ong Siew yang dianggarkan berusia 67 tahun yang ditemukan di Pekan Kuala Nerang pada 2003 dan dimasukkan ke Hospital Alor Setar bagi menerima rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Nor Asikin berkata, pihaknya turut mencari waris seorang individu dikenali sebagai Jasmin Kassim yang dianggarkan berusia 57 tahun yang menjadi penghuni di rumah kebajikan JKM sejak 2006.  

“Kami juga mencari waris kepada seorang warga emas wanita dianggarkan berusia 62 tahun dikenali sebagai S. Meena, yang mempunyai masalah daya ingatan hingga menyukarkan dia memberi keterangan jelas mengenai latar belakang diri serta salasilah ahli keluarga.

“Seorang lagi pemuda berketurunan Cina dianggarkan berusia 25 tahun yang tidak diketahui namanya. Dia ditemukan di depan pusat membeli belah di Mergong pada 2015,” katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keenam-enam individu itu boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Kota Setar di talian 04-7202370 atau 04-7202352, Pejabat Kebajikan Masyarakat Kuala Muda (04-4204900) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Kulim (04-4914642/ 04-4907403). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya