KUCHING: Hanya empat sahaja titik panas direkodkan di Sarawak manakala di Kalimantan Barat, Indonesia merekodkan sebanyak 2,203 titik panas.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, situasi ini jelas menunjukkan jerebu yang melanda negara ini datang dari Indonesia dan tidak dapat dinafikan oleh negara berkenaan.
“Mana boleh menafikan, kita di Sarawak bagi tempoh 20 hingga 28 September lalu hanya ada empat hotspot (titik panas).
“Manakala, di Kalimantan 2,203 hotspot dicatatkan, jadi, macam mana mereka boleh nafikan situasi seperti ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kerajaan Indonesia yang menafikan dakwaan bahawa jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Indonesia melintasi Malaysia.
Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta Isnin lalu menegaskan bahawa aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.
Tambahnya, pihak kementerian Indonesia juga memantau keadaan dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia. Malah, tiada jerebu rentas sempadan dari Indonesia yang melintasi Malaysia.
Dalam pada itu, Dr. Hazland berkata, perkara berhubung situasi jerebu ini akan dibawa perbincangan dalam sebuah Jawatankuasa Sosio Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO) pada masa akan datang.
“Perbincangan seterusnya akan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang dan kita akan mencadangkan beberapa perkara antaranya berhubung alam sekitar di kedua negara ini.
“Selain itu, kita juga akan mencadangkan kepada kerajaan Indonesia atau sektor perniagaan mereka untuk memasuki biojisim.
“Jadi, daripada mereka membakar pokok-pokok itu apabila mereka memotong, ia boleh menjadi biojisim, sekali gus boleh menjadi sumber tenaga boleh jadi, pendapatan baharu khususnya untuk golongan petani,” katanya lagi. -UTUSAN