Jerebu: Elak aktiviti fizikal luar - KKM

Jerebu: Elak aktiviti fizikal luar – KKM

ORANG ramai dinasihatkan memakai pelitup muka jika terpaksa berada di luar bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar pernafasan menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan sekali gus meningkatkan risiko penyakit akibat pencemaran udara itu.

Menurut beliau, orang ramai juga dinasihatkan sentiasa berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar (outdoor), hadkan masa dan gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

“Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Radzi berkata, antara langkah lain yang boleh diambil terutama mereka yang berada di kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat ialah menggunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

Selain itu ialah, banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurangkurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

“Tambah baik pengudaraan dalam seperti dengan memasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

“Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat dan orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan ini di laman web KKM (https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu),” katanya.

Pada masa sama, orang ramai juga digesa supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

Katanya, KKM akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya