PETALING JAYA: Negara yang terkesan dengan jerebu perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia yang menjadi antara penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara sejak berpuluh tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, langkah sekadar berunding seperti dilakukan sebelum ini bagi menangani isu tersebut sudah ‘lapuk’.
Katanya, langkah itu juga perlu dilakukan berikutan beberapa negara mengiktiraf Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Rentas Sempadan, tetapi jerebu tetap berlaku.
“ASEAN lebih kepada semangat setiakawan, berunding dan berbincang, sedangkan isu jerebu sudah berpuluh tahun, tetapi masih tiada penyelesaian.
“Kita ada perjanjian isu jerebu di peringkat ASEAN, tetapi di peringkat antarabangsa belum lagi. Jadi, jika mahu ambil tindakan perlu kaitkan dengan isu lebih luas dan bukan setakat jerebu.
“Mungkin boleh kaitkan dengan perjanjian yang menjurus kepada pemanasan global (Perjanjian Paris) sebab jerebu setiap tahun itu boleh menyumbang kepada situasi memburukkan lagi perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kualiti udara di seluruh negara didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung.
Malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini mengesyaki kemerosotan kualiti udara itu disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Bagaimanapun Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan tuduhan bahawa jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia bergerak merentas ke Malaysia.
Dr. Haliza berkata, masalah jeerebu berlaku setiap tahun sehingga sekolah ditutup dan mengganggu pelajar.
“Selain itu, kita pun tidak tahu jangkaan tahap teruk jerebu tahun ini, bagaimana dengan sektor ekonomi jika terpaksa tutup, lagi teruk,” katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean berkata, Malaysia sepatutnya membantu Indonesia memadamkan kebakaran yang sedang berlaku dengan mengambil kira semangat kejiranan antara kedua-dua negara.
Katanya, bantuan itu boleh disalurkan sama ada dalam bentuk kewangan, petugas dan peralatan canggih yang dimiliki oleh negara ini.
“Seterusnya, Malaysia patut mengkaji berapa banyak syarikat di sana yang menyumbang kepada kebakaran di Indonesia.
“Indonesia menyatakan ada anak syarikat di Malaysia telah diberikan amaran dan sesetengah daripadanya diminta menghentikan operasi. Jadi siapa pemilik syarikat itu? Kerajaan mesti berani menamakan mereka.
“Dedahkan nama mereka dan ambil tindakan menggunakan undang-undang negara ini kerana mereka sebahagian daripada masalah yang kita hadapi,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan Indonesia pada masa sama perlu memberikan kesedaran dan didikan kepada peladang kecil mereka yang sudah biasa membakar kawasan untuk penanaman musim akan datang. – UTUSAN










