Jenazah Munirah selamat dikebumikan  - Utusan Malaysia

Jenazah Munirah selamat dikebumikan 

ANAK Allahyarhamah Munirah Abu Bakar menyiram air di pusara ibunya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib di Kampung Paya Tengah, Padang Besar, Perlis hari ini. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jenazah Munirah Abu Bakar, 31, yang maut ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib di Kampung Paya Tengah di sini hari ini.

Kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara, rakan, penduduk sekitar mengiringi jenazah ke pengebumian jururawat berkenaan yang selesai kira-kira pukul 5.45 petang itu.

Dua anak Allahyarhamah Munirah yang berusia enam dan lapan tahun itu turut berada di tanah perkuburan Islam tersebut bagi menyaksikan ‘perjalanan terakhirnya’ ibu mereka itu.

Di usia kecil tersebut, mereka seolah-olah masih tidak mengerti apa-apa dengan kelihatan anak bongsu arwah bertanya kepada saudara terdekat ‘mama mati sekejap je ke’.

Kata kanak-kanak itu ternyata mengundang sebak mereka yang berada di sekeliling.

Terdahulu jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dibawa pulang ke kediaman bapanya di Kampung Paya Tengah di sini untuk disembahyangkan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, akibat cemburu dengan mengesyaki isterinya berlaku curang dipercayai menjadi punca seorang suami bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau di bahagian kiri dada wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dipercayai telah terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek berusia 38 tahun yang juga merupakan bekas tentera dan isterinya.

Munirah merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang pada masa itu sedang bersedia untuk keluar pergi bekerja.

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan telah membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal seterusnya menghantar dua anak mereka  ke rumah pengasuh.

Suspek tersebut direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Oktober. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN