Jasad di Malaysia, fikiran pada isteri, anak di Gaza

Jasad di Malaysia, fikiran pada isteri dan anak di Gaza

EMAD Saleem (tengah) tidak ketinggalan menyertai Himpunan Solidariti Pertahan Palestin di UniSZA, Kuala Nerus, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang pelajar Palestin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini mengakui tiada satu saat berlalu tanpa memikirkan keselamatan keluarganya yang kini berdepan serangan bertali arus rejim Zionis di Gaza.

Emad Saleem, 41, yang baru sahaja menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di UniSZA berkata, hari-hari yang berlalu sangat pedih untuk diharungi kerana dia tidak berada di Gaza untuk melindungi nyawa isteri dan dua anak lelakinya pada saat-saat kritikal ini.

Katanya, serangan kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan rejim Zionis kerana sesiapa sahaja boleh menjadi korban pada bila-bila masa tanpa ada satu tempat pun yang selamat.

“Tidak tahu bagaimana hendak gambarkan kebimbangan dan kesedihan yang saya rasa, ketika ini adalah saat yang paling sukar untuk diri saya.

“Memang jasad ada di sini (Malaysia) namun fikiran dan hati hanya memikirkan nasib isteri, Mariam Mohamed, 34, serta dua anak lelaki iaitu Saleem Emad Saleem, 12, dan Kareem Emad Saleem, 10, di Gaza.

“Hanya kepada Allah SWT kami berserah dan yakin dengan janji-janji-Nya untuk menguatkan semangat kami melalui ujian ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Emad yang menamatkan pengajian dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan awal Oktober lalu berkata, kali terakhir dia dapat menghubungi anak isterinya pada Isnin lalu.

“Setelah hampir seminggu tidak dapat menghubungi mereka, akhirnya saya menangis kesyukuran apabila deringan telefon disambut ketika itu.

“Isteri memaklumkan rumah kami rosak akibat terkena bom yang memusnahkan rumah jiran dalam satu serangan baru-baru ini menyebabkan sembilan orang syahid.

“Hidup tanpa bekalan air bersih dan elektrik sangat menyukarkan penduduk Gaza. Apa yang boleh kami harapkan adalah semua ini dapat dihentikan segera,” katanya yang telah kehilangan sekurang-kurangnya 10 saudara-mara dalam peperangan kali ini.

Dia bagaimanapun berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti memberi sumbangan dan sokongan kepada penduduk Palestin dan Gaza selama ini kerana solidariti itu sangat penting buat mereka.

“Apa yang saya fikirkan ketika ini hanya mahu pulang segera ke Gaza untuk berada bersama keluarga. Titipan doa tanpa henti kepada Allah SWT agar semuanya selamat dan dapat kami bertemu semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN