PUTRAJAYA: Kerajaan digesa tidak tunduk dengan tekanan pihak tertentu untuk menggagalkan usaha kawalan produk merokok melalui dasar generasi penamat (GEG).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara yang memberikan kemudaratan kepada rakyat tidak sepatutnya diberi kebebasan tanpa kawalan walaupun dikatakan merugikan ekonomi negara dari segi kutipan cukai.
Kata beliau, kerajaan akan dibebani kos lebih tinggi pada masa depan untuk merawat penyakit kronik berpunca daripada rokok dan vape.
“Kesihatan ialah kekayaan sebenar dan perlu diutamakan,’’ katanya.
Sebelum ini, pemain industri vape tempatan menyeru agar kerajaan menggugurkan dasar generasi penamat (GEG) dari Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok yang bakal dibentangkan di Parlimen.
GEG akan mengakibatkan kesan negatif kepada industri tempatan dan ini akan melihat ribuan pekerja bakal hilang pekerjaan dan ramai usahawan terpaksa menggulung tikar.
Noor Hisham yang juga Pakar Perunding di Institut Endokrin Hospital Putrajaya berkata, kerajaan juga perlu mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi dan pihak industri tidak boleh menjadikan alasan sedemikian bagi menyekat usaha mengawal produk rokok dan vape demi mengejar keuntungan semata-mata.
Apatah lagi, katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.
“Kita kena melihat dari sudut kesihatan, benda mudarat kita kena kawal, kita tahu nikotin dalam rokok dan vape memudaratkan. Bebanan kos kepada kerajaan bukan sekarang, tapi dalam jangka masa panjang, jadi pencegahan lebih baik rawatan,’’ katanya.
Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dijadualkan dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat, Selasa lalu, bagaimanapun ia telah ditangguhkan.
Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan bagi menimbang RUU itu dikatakan mengesyor penangguhan kuat kuasa undang-undang melarang individu lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya, daripada menghisap produk tembakau atau rokok elektronik.
Penangguhan penguatkuasaan itu seperti yang termaktub dalam peruntukan kesalahan pada Seksyen 18 dan 19 RUU tersebut ke satu tempoh masa tertentu, atau sehingga laporan berkala yang diperlukan oleh RUU itu dibentang.
Perkara itu antara 12 rumusan jawatankuasa di dalam laporan semakan RUU yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen. – UTUSAN










