ALOR SETAR: Orang ramai yang kehilangan dokumen penting termasuk MyKad atau pasport diingatkan tidak mengambil jalan mudah dengan membuat laporan palsu kononnya kehilangan dokumen-dokumen itu disebabkan oleh kejadian jenayah seperti samun dan sebagainya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 20 laporan melibatkan kes samun palsu yang kebanyakannya dibuat demi mewajarkan kehilangan dokumen penting tersebut untuk mengelak didenda.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang membuat laporan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Bagi mengelak didenda, mereka sanggup reka cerita kononnya disamun hingga menyebabkan MyKad hilang. Tetapi apabila kita jalankan siasatan terperinci, akan timbul keraguan daripada kenyataan diberikan.
“Di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, mereka boleh dipenjara, didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Tambahnya, sebahagian daripada mereka yang dikesan berbuat demikian merupakan golongan muda termasuk pelajar di pelbagai peringkat pengajian.
“Kehilangan MyKad atau pasport biasanya berpunca daripada kesilapan sendiri seperti tersilap letak, kecuaian dan sebagainya tetapi demi mewajarkan kesilapan itu, mereka sanggup buat laporan palsu. Tindakan itu sebenarnya merugikan masa depan mereka.
“Ini kerana apabila mereka didapati bersalah kerana membuat laporan palsu, secara automatik mereka akan memiliki rekod jenayah. Perkara itu sudah tentu menjejaskan masa depan mereka terutamanya sewaktu memohon pekerjaan nanti,” katanya. –UTUSAN