IPOH: Tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kelebihan dan mengukuhkan lagi kerajaan di Parlimen.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini kerajaan Perpaduan hanya mempunyai 147 ahli Parlimen iaitu kurang satu untuk majoriti dua pertiga.
Katanya, sokongan oleh Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilihat dapat membantu dalam meluluskan Rang undang-undang (RUU) di Dewan Rakyat.
“Kerajaan Pusat sekarang ada 147 kerusi, kurang satu kerusi untuk dapat majoriti dua pertiga. Jadi, dengan satu sokongan ini, tidak kiralah lompat parti atau tidak, apabila tiba masanya untuk membuat keputusan, jika dia menambah satu lagi sokongan menjadikan dua pertiga untuk meluluskan satu RUU.
“Saya fikir itu tidak terkesan anti lompat parti sebab dia bukan lompat parti, dia bebas untuk menyokong mana-mana RUU,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Saarani berkata, keputusan Iskandar Dzulkarnain itu bagaimanapun perlu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat sama ada ia memberi implikasi kepada Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan sebelum ini.
Katanya, sama ada kedudukan Ahli Parlimen itu di Dewan Rakyat akan berubah atau tidak, juga tertakluk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.
“Perkara ini perlu dirujuk kepada Speaker kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menentukan status Ahli Parlimen tersebut.
“Berkenaan tindakannya (umum sokong Anwar), beliau mesti ada alasan mengapa umumkan begitu. Mungkin dia mahu minta peruntukan daripada Perdana Menteri, mungkinlah. Saya tidak tahu,” katanya.
Terdahulu, Iskandar Dzulkarnain dilaporkan mengisytiharkan sokongannya kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasan diwakilinya.
Menurut beliau, keputusan itu juga bertujuan menilai sama ada Perdana Menteri ikhlas dan akan mengotakan janjinya bahawa peruntukan akan disalurkan kepada Ahli Parlimen yang menyokong dasar-dasar kerajaan Perpaduan.
“Saya percaya ekonomi negara perlu dipertingkat demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Oleh demikian, saya menyokong Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.
Tegasnya, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu biarpun keputusan itu bakal menyebabkannya berdepan risiko dikenakan tindakan disiplin oleh parti. – UTUSAN