PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor cedera ketika menjalankan operasi tangkapan ke atas suspek kes dadah, kelmarin.
Pegawai berusia 32 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan cedera di kaki, tangan dan leher akibat terjatuh dari tingkap empat ke tingkat dua di premis kedai di Taman, Sri Andalas, Klang di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku apabila Inspektor Mohammad Azrin Yazid mengetuai serbuan itu mendapati pagar dan pintu rumah itu bertutup.
Katanya, pegawai kanan tersebut memanjat di bumbung atas rumah atas tingkat tiga namun suspek telah berlari ke bumbung sebelah.
“Semasa hendak turun, paip yang dipegangnya patah lalu menyebabkan dia terjatuh dalam ketinggian 20 kaki.
“Bagaimanapun, Mohammad Azrin terus berlari mengejar suspek ke kedai tersebut dan tahan suspek di koridor.
“Pemeriksaan terhadap suspek turut menemukan satu beg silang yang terdapat dua paket plastik berisi bahan dipercayai syabu,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut Hussein, Mohammad Azrin tiba-tiba berasa sakit di beberapa bahagian badan sebelum dirujuk ke hospital.
“Mohammad Azrin telah ditahan di unit kecemasan dan menjalani pembedahan kaki. Dia disahkan stabil,” ujarnya. – UTUSAN










