Imigresen serbu kediaman warga asing di kondominium mewah di ibu negara 

Kediaman warga asing di kondominium mewah diserbu

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan di kondominium mewah di Jalan Munshi Abdullah di ibu negara awal hari ini. - IHSAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) membongkar penempatan warga asing di sebuah kondominium mewah termasuk penthouse di Jalan Munshi Abdullah di sini, awal pagi ini. 

Serbuan pada 1 pagi itu dijalankan oleh JIM Putrajaya dibantu JIM Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan pemeriksaan dua blok kondominum tersebut. 

Yang mengejutkan, beberapa unit penthouse memuatkan warga asing yang mendakwa mereka adalah pekerja restoran serta syarikat pelancongan yang menyewa sekitar RM500 hingga RM800 sebulan bergantung saiz bilik. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemeriksaan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati kira-kira lapan penghuni berada di unit kondominium terbabit.

Katanya, ia adalah serbuan kedua JIM di lokasi terbabit dengan kali pertama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati warga asing ini menyewa di dua blok kondominium yang mana setiap unit mempunyai tiga atau empat bilik dan kediaman itu dihuni sekurang-kurangnya lapan orang.

“Kadar sewa bagi setiap bilik berharga antara RM500 hingga RM800 sebulan bergantung kepada saiz bilik. Ada yang ditahan tinggal di penthouse dan ini menunjukkan warga asing mempunyai kemampuan yang besar,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian. 

Bagaimanapun, menurut Ruslin, JIM akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan majikan dan pemilik unit kediaman itu.

“Tindakan serbuan ini dibuat berikutan aduan awam yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kondominium ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, seramai  136 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun hasil pemeriksaan 3,016 warga asing.

Jelasnya, PATI yang ditahan terdiri daripada 33 Bangladesh, India (45), Indonesia (12), Nepal (4), Pakistan (41) dan seorang Thailand.

“Apa yang dikesan, kesalahan tinggal lebih masa adalah paling banyak dan kita akan lihat kesalahan lain yang berkaitan.

“Kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 7,169 operasi dilaksanakan JIM sejak Januari lalu sehingga kelmarin, dengan 48,656 PATI dan 245 majikan ditahan.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN