Imbangkan harga, keuntungan beras semua peringkat

Imbangkan harga, keuntungan beras semua peringkat

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengimbangi antara harga dan keuntungan beras yang diperoleh di semua peringkat agar tidak ada pihak yang terjejas dalam industri itu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini disebabkan negara berdepan kira-kira 37 peratus ketidakcukupan bekalan beras yang dihasilkan dan memerlukan langkah efektif dalam jangka masa panjang.

“Adalah penting untuk kerajaan mengutamakan faktor ketidakcukupan penghasilan beras putih tempatan yang negara hanya mempunyai kira-kira 62 peratus daripada hasil pengeluaran beras,” kata bekas Menteri Kewangan II itu.

Ketika mencelah penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, menurutnya, kerajaan perlu melihat langkah menetapkan harga RM26 beras tempatan dan kesannya kepada semua pihak yang terlibat dalam industri itu kerana beras import boleh dijual lebih mahal.

Menjawab soalan itu, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian yang terlibat akan berbincang jika berlaku kenaikan supaya dapat dinikmati oleh semua pihak.

Johari kemudian menjawab, beliau tidak terlalu mementingkan aspek komersial namun mahu memastikan harga beras terkawal dan cukup di semua peringkat.

“Maksudnya, pesawah, pengilang, pengedar dan peruncit, kita kawal keuntungan mereka tetapi jangan sampai tidak untung. Kalau harga padi meningkat, harga jualan beras dari 2008 sampai sekarang sama, saya takut kilang pun tutup.

“Akhirnya, kita suka orang menanam padi dan menaikkan pesawah, tetapi orang lain semua sangkut. Perkara ini tidak boleh ditunggu lama, dari 2008 hingga 2023 tidak naik, sedangkan zakat fitrah pun naik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN