Ibu tunggal pujuk anak minum teh, air suam ganti susu

Ibu tunggal pujuk anak minum teh, air suam ganti susu

SITI Nurfarahim Abdullah (tengah) menerima sumbangan daripada MAINJ dan Pasaraya Econsave di rumahnya di flat Taman Pulai, Skudai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal dari  flat Taman Pulai di Skudai di sini terpaksa memujuk anak-anaknya berusia tiga hingga lima tahun meminum air suam dan teh kosong bagi menggantikan susu akibat kesempitan hidup.

Siti Nurfarahim Abdullah, 29, berkata, keadaan kewangannya semakin meruncing apabila hanya menerima upah RM10 sehari dengan membantu rakan membuat kerja-kerja kelim karipap di rumah.

Katanya, sebelum itu dia menerima upah sehingga RM50 sehari dengan membantu sepupunya berniaga sarapan pagi.

“Selepas sepupu saya berhenti berniaga, saya kehilangan sumber pendapatan hingga terpaksa menerima tawaran kerja sambilan melakukan kelim karipap dengan bayaran RM10 sehari. Saya tiada pilihan kerana perlu tinggal di rumah untuk menjaga tiga anak kecil. Kerja kelim karipap itu saya lakukan pada sebelah malam.

“Dengan pendapatan itu, saya hanya mampu membeli barangan keperluan dapur bagi kegunaan harian tetapi tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM550 sebulan,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan daripada wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd. Nasir Ishak dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Menurut Siti Nurfarahim, dia terpaksa mengawal perbelanjaan hariannya agar tidak terus kehabisan wang.

“Barang basah seperti ikan atau telur juga dibeli dalam kuantiti sedikit kerana bimbang wang tidak mencukupi semasa hendak buat pembayaran. Disebabkan itu saya terpaksa memberi anak minum air suam atau teh kosong kerana tiada wang membeli susu,” katanya sambil memberitahu dua lagi anaknya yang berusia sembilan dan 11 tahun tinggal bersama bekas suaminya

Dalam pada itu, dia turut memberitahu terpaksa menangguh perancangan menjalankan perniagaan karipap sejuk beku memandangkan rumahnya tidak mempunyai kemudahan peti sejuk.

“Rumah ini kosong, tiada peti sejuk, kerusi atau meja, malahan televisyen pun tiada. Anak-anak hanya menghiburkan diri dengan meminjam telefon bimbit saya. Saya tiada pengalaman bekerja kerana sepanjang berkahwin, suami adalah pencari rezeki tunggal dalam keluarga kami. Sebelum ini saya menetap di Puchong, Selangor selama 12 tahun sebelum berpindah ke sini Julai lalu untuk memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, Mas Imran menyampaikan sumbangan berupa barangan elektrik dan keperluan dapur bernilai RM1,200 kepada keluarga berkenaan.

“Kami harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir pula memaklumkannya pihaknya akan mencadangkan bantuan sara hidup kepadanya keluarga berkenaan.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada Siti Nurfarahim boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya iaitu 1099541100275957. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN