TELUK INTAN: “Saya sempat melihat anak perempuan berkedip mata memandang ke arah saya, manakala anak lelaki pula sudah tidak sedarkan diri sebelum kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir’.
Itu kata ibu kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan ketika bermotosikal ke sekolah di Bagan Datuk hari ini.
Kejadian sekitar pukul 7 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Datoh itu mengorbankan Muhammad Lutfil Faiq Abdullah, 15, dan adiknya, Nur Lidiya Faiqah, 13, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.
Ibu kepada dua beradik itu, Rabiatun Adawiyah Azman, 33, berkata, dia sempat melihat kedua-dua anaknya yang terbaring dalam keadaan parah di tempat kejadian sebelum mereka meninggal dunia.
Katanya, ketika dia tiba di tempat kemalangan, anak perempuannya masih bernafas manakala anak lelakinya sudah tidak sedarkan diri.
“Sebelum itu, saya menghantar dua lagi anak saya berusia 10 dan tujuh tahun ke SK Bagan Datoh dan sebaik sahaja tiba di depan sekolah, saya lihat ada kemalangan. Tetapi saya terkejut dan tidak sangka rupa-rupanya ia melibatkan anak-anak saya.
“Saya tahu mangsa itu adalah anak saya sebaik sahaja melihat beg sekolah mereka, saya kenal beg anak saya. Mereka berada dalam keadaan terlentang betul-betul di hadapan bangunan SK Bagan Datoh.
“Ketika itu kedua-dua anak saya masih bernafas. Saya tengok anak perempuan saya berkedip matanya ke arah saya, manakala anak lelaki saya berlumuran darah. Ketika saya meminta bantuan orang ramai supaya menghubungi ambulans, tidak lama kemudian saya tengok anak saya tidak bergerak, kedua-duanya sudah pergi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan dua beradik itu bermotosikal ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di sini sebelum pukul 7 pagi.
Katanya, Muhammad Lutfil merupakan anak sulung manakala Nur Lidiya Faiqah anak kedua daripada enam beradik.
Jelasnya, kedua-dua mereka tidak menunjukkan tanda-tanda akan pergi buat selama-lamanya cuma yang agak pelik ialah pada pagi sebelum ke sekolah, dua beradik itu memeluk dan mencium bapa mereka.
“Biasanya mereka hanya bersalam tangan sahaja, tetapi pagi tadi mereka memeluk dan mencium bapa dan datuk mereka sehinggakan saya pun rasa agak pelik.
“Saya tidak sangka itu tanda mereka akan pergi buat selama-lamanya. Memang sukar untuk saya menerima hakikat kehilangan mereka berdua sekali gus, namun saya reda,” katanya.
Katanya, jenazah dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Penikam, Bagan Datuk selepas solat Asar. – UTUSAN










