Himpunan aman: Peserta dilarang bawa kayu, sepanduk ketika

Himpunan aman: Peserta dilarang bawa kayu, sepanduk ketika konvoi motosikal

ALLAUDEEN ABDUL MAJID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan peserta himpunan aman agar tidak melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ini susulan pihaknya mengesan tindakan peserta konvoi motosikal  yang membawa sepanduk dan batang kayu ketika menyertai perhimpunan aman. 

Katanya, teguran tersebut dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Tindakan membawa dan mengibarkan sepanduk semasa menaiki motosikal adalah perbuatan menyalahi undang-undang kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. 

“Justeru, kita tetap akan melaksanakan operasi lalu lintas di sekitar ibu negara bagi memastikan orang ramai patuh undang-undang khususnya peraturan jalan raya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Jelas Allaudeen, terdapat beberapa pihak mengadakan perhimpunan di sekitar ibu negara sepanjang minggu ini. 

“Kita sedia maklum mengenai kebebasan untuk berhimpun, namun, ia perlu dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada. 

“Ada di antara mereka (penganjur) membuat pemakluman kepada kami (mengenai penganjuran perhimpunan, namun, ramai (penganjur) yang tidak memaklumkan apa-apa,” katanya. 

Mengulas mengenai Himpunan Satu Juta Malaysia bersama Palestin yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, pihaknya sudah membuat segala persiapan bagi memastikan kelancaran perhimpunan terbabit. 

“Persiapan untuk himpunan malam ini di Arena Axiata, malam ini, sudah digerakkan terutama oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. 

“Kita nasihatkan orang ramai yang mahu menyertai perhimpunan supaya patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi memastikan kelancaran himpunan serta lalu lintas,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN