PETALING JAYA: Sebanyak 533,000 hektar kebun getah terbiar sekali gus menjadi antara punca pengeluaran getah asli sektor estet semakin berkurangan berbanding sektor pekebun kecil.
Kebun-kebun terbiar itu berkemungkinan melibatkan beberapa kawasan di Pahang, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor yang sinonim dengan tanaman getah.
Mengulas perkara tersebut, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman berkata, angka itu berdasarkan data daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Menurut beliau, faktor utama kebun terbiar adalah kerana hasil menoreh yang kurang menarik serta tidak mampu untuk menampung kehidupan.
“Tidak dinafikan harga getah memang tinggi sekarang, tetapi baharu seminggu dua ini saja dan tidak tahu dapat bertahan berapa lama. Sedangkan, sebelum ini harga memang teruk. Kalau di lapangan tidak sampai RM3 sekilogram.
“Jadi jika kebun itu diusahakan bukan pemilik, maknanya RM3 dibahagi dua antara pekebun dan pemilik, maka dengan RM1.50 sekilogram itu pekebun mahu makan apa?
“Keduanya, majoriti pengusaha dalam kalangan pekebun kecil adalah warga emas, jadi mereka tidak mampu untuk usahakan tanaman lagi. Ketiganya adalah sukar untuk mendapat pekerja luar.
“Misalnya di pantai timur ini sebahagian besar penoreh dalam kalangan warga Thailand mengambil keputusan untuk pulang ke negara mereka. Sebab harga getah tempatan rendah dan pertukaran nilai mata wang juga rendah, jadi lebih baik pulang ke tempat masing-masing kerana pendapatan lebih tinggi dari di Malaysia,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas demikian mengenai sektor estet yang kini hanya menyumbang 16.7 peratus kepada 31,209 tan metrik pengeluaran getah asli pada Ogos tahun ini berbanding sektor pekebun kecil yang menyumbang sehingga 83.3 peratus.
Malah, keseluruhan pengeluaran getah asli itu juga menurun 16.9 peratus berbanding 37,666 tan pada Ogos 2022.
Sebelum ini, Risda dilapor akan mengesan lebih 500,000 hektar kebun yang tidak ditoreh di negara ini sekali gus berpotensi mengurangkan pendapatan hasil getah negara.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah, pihaknya mencari alternatif lain bagi memastikan kawasan tanah kebun terbiar itu diusahakan dengan mengatur syarikat berkaitan ataupun mencari penoreh lain selain melaksanakan skim penanaman berkelompok.
Mengulas lanjut, Kameruzaman berkata, walaupun majoriti pengeluaran getah asli negara ini daripada sektor pekebun kecil, namun beliau percaya Malaysia tidak lagi perlu bergantung kepada import getah luar sekiranya kebun terbiar itu diusahakan semula.
“Sekarang kita banyak import getah misalnya dari Thailand terutama sekali dalam bentuk susu getah atau lateks.
“Jadi kita harap pihak kerajaan kena buat perancangan betul-betul supaya kebun getah terbiar dapat diusahakan dan galakkan pengeluaran dalam bentuk lateks.
“Apabila kita banyak import dari Thailand maknanya kita kerugian aliran tunai…jika tidak silap saya RM2 bilion amaun digunakan untuk kita import,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan juga disaran untuk melantik koperasi bagi menguruskan kebun terbiar secara berkelompok.
“Tetapi perlu salurkan bantuan. Misalnya pertubuhan kami pun ada koperasi dan memang berminat mahu usahakan secara berkelompok, tetapi tidak ada bantuan kewangan,” katanya. – UTUSAN










