ALOR SETAR: Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyifatkan belian padi pada harga RM1,300 satu tan belum mencukupi bagi menampung kos input yang semakin meningkat.
Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, beliau berharap kerajaan dapat menaikkan harga siling beras daripada RM2.60 kepada RM3.50 sekilogram (kg) bagi membantu petani menerima harga jualan padi yang lebih munasabah.
“Di pihak pesawah kita rasa sedikit kecewa kerana ingatkan kerajaan memahami keperitan yang dihadapi golongan ini, kita sebenarnya menjangkakan harga belian padi akan naik kepada RM1,400 atau RM1,500 setiap tan.
“Bagaimanapun jangkaan kami meleset apabila Perdana Menteri hanya umum kenaikan sebanyak RM100 daripada RM1,200. Ia tidak mencukupi untuk mengurangkan kos input tinggi yang perlu kami tanggung bagi mengusahakan padi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024, Jumaat lepas mengumumkan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,300 setiap tan.
Sebelum ini, akhbar ini turut melaporkan demonstrasi petani di seluruh Kedah ekoran tindakan pengilang menurunkan harga belian tanaman itu daripada RM1,700 kepada RM1,250 setiap tan sejak awal Oktober lalu.
Tambah Che Ani, harga lantai RM1,300 masih jauh daripada RM1,700 setiap tan yang dibayar oleh pengilang padi sebelum tiba-tiba menurunkan secara drastik harga tersebut kepada RM1,250.
Beliau menjelaskan, harga siling beras RM2.60 sekilogram adalah yang terendah di Asia Tenggara tidak lagi relevan kerana kos input meningkat beberapa kali ganda sejak sedekad lalu.
“Malah di Vietnam, Thailand dan Laos yang merupakan pengeluar utama beras di rantau ini, beras putih dijual masing-masing pada harga RM3.60, RM3.50 dan RM5.70 sekilogram tetapi kita masih jual RM2.60. Di Singapura pula beras dijual RM6.80 sekilogram manakala harga di Brunei kira-kira RM6.70 sekilogram.
“Harga itu perlu dikaji semula untuk menggambarkan kos pengeluaran semasa dan risiko yang perlu kita tanggung apabila tanaman rosak akibat bencana alam dan serangan penyakit serta haiwan perosak,” katanya.
Dalam pada itu menurut seorang petani, Muhammad Aeffandi Aziz, 40, dari Pendang, kos mengerjakan sawah ketika ini meningkat antara RM10 hingga RM20 setiap hektar termasuk upah mesin padi dan traktor.
“Apabila belian padi naik RM1,700 dahulu pengusaha mesin padi dan traktor ini mula naikkan upah sewa mereka. Tetapi apabila harga belian sudah turun adakah mereka akan turunkan semula caj tersebut?
“Bagi kami, paling munasabah belian padi adalah RM1,500 setiap tan, dapatlah tampung kos kenaikan input. Kalau naik RM100 mungkin itu cukup untuk tampung kenaikan kos sahaja. Apabila naik RM1,700 dahulu kami bahagia tetapi rupanya sekejap sahaja,” katanya.-UTUSAN











