KOTA KINABALU: Selama enam bulan penduduk kuaters sebuah anak syarikat kerajaan negeri hanya bergantung kepada cahaya lilin bagi menerangi rumah pada waktu malam.
Usaha mendapatkan bantuan kerajaan bagi mempertimbangkan penyambungan semula bekalan elektrik di perumahan itu menemui jalan buntu.

biarpun petisyen telah dihantar kepada Ketua Menteri bagi mendapatkan kebenaran menyambung semula bekalan elektrik di kawasan perumahan yang dihuni kira-kira 2,000 orang penduduk itu tetapi sehingga kini tiada penyambungan bekalan elektrik dilakukan.
Wakil penduduk, Jefferidin Baudi berkata, mereka menerima surat maklum balas menyatakan kebenaran sebegitu perlu dibincangkan terlebih dahulu.
Sudah hampir tiga bulan sejak petisyen dikemukakan kepada Pejabat Ketua Menteri tetapi masih tiada kebenaran diberikan. Katanya, seramai 647 ketua isi rumah di situ telah bersetuju untuk membayar 85 peratus tunggakan bil elektrik yang belum dijelaskan daripada keseluruhan jumlah tunggakan kira-kira RM300,000.
“Kami hanya perlu kebenaran daripada Ketua Menteri bagi membolehkan penyambungan semula bekalan elektrik.
“Kami sudah bergelap selama enam bulan tanpa bekalan elektrik. Hanya cahaya lilin digunakan bagi menerangi rumah pada waktu malam. Namun, ada juga yang menggunakan set janakuasa bagi mereka yang berkemampuan.
“Keadaan sebegitu menyebabkan anak-anak yang bersekolah sukar untuk belajar di rumah pada waktu malam. Enam bulan tiada bekalan elektrik turut menjejaskan prestasi pembelajaran anak-anak yang bersekolah,” katanya.
Menurutnya, tindakan pengusiran terhadap penduduk di situ ditangguhkan sehingga kes mahkamah membabitkan syarikat itu selesai sepenuhnya.
Jefferidin berkata, beliau agak lega kerana buat masa ini mereka tidak akan diusir keluar namun, apabila perintah pengosongan dikeluarkan kelak, beliau berharap kerajaan akan membantu menyediakan penempatan kepada penduduk yang terkesan.
Kilang berkenaan menghentikan operasi pada 2017 dan kemudiannya pemilikan syarikat diambil alih pihak lain. –UTUSAN










