Geran kerajaan negeri bantu rancakkan koperasi sekolah - Utusan Malaysia

Geran kerajaan negeri bantu rancakkan koperasi sekolah

NORLELAH Samsuddin dan Fahmi Zainol ketika ditemui pada program YESS di Bertam Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Peruntukan yang disediakan kerajaan negeri bagi kegunaan koperasi menerusi Penang 2030 COOP Grant membantu merancakkan usaha koperasi sekolah menjana pendapatan.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Norlelah Samsuddin berkata, sejumlah RM450,000 geran yang diperuntukkan untuk koperasi telah diluluskan dan diagihkan kepada 23 koperasi yang layak.

“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 14 koperasi sekolah secara majoriti menerima peruntukan sehingga RM10,000 bagi setiap koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) di Bertam, di sini semalam.

Perasmian penutupan program disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol.

Menurut Norlelah, SKM turut berperanan dalam membentuk inovasi pelajar yang terbabit dalam bidang keusahawanan menerusi koperasi.

“Penglibatan pelajar dalam bidang koperasi di sekolah hanyalah permulaan dan kita persiapkan mereka dengan memberi galakan dan bantuan yang diperlukan.

“Apabila pelajar sudah tamat persekolahan, kita mahu mereka bawa ilmu yang ditimba dan gunakannya untuk mengembangkan kemahiran yang dimiliki ke peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau berbangga dengan pencapaian koperasi sekolah negeri ini yang mencatatkan penyertaan terbanyak membabitkan 26 pasukan koperasi dalam program kali ini.

“Kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan modal insan berkemahiran dan keusahawanan dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

“Ia selaras dengan misi Kementerian Pendidikan iaitu melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya