Gaza perlukan ubatan, air minuman, pek makanan segera

Gaza perlukan ubatan, air minuman, pek makanan segera

Sukarelawan dari Qatar dan Mesir memindahkan bantuan makanan yang akan dihantar kepada penduduk Palestin di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain daripada bantuan perubatan, penduduk Gaza memerlukan air minuman dan pek makanan khususnya untuk menampung keperluan kebanjiran 500,000 rakyat Palestin yang kini sedang mendapatkan perlindungan di Rafah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safwan Ujar berkata, antara barangan lain yang sangat diperlukan bagi golongan wanita dan anak-anak kecil adalah tuala wanita dan lampin pakai buang.

Menurutnya, kebanyakan rakyat Palestin kini terpaksa berpindah-randah untuk ke lokasi-lokasi yang lebih selamat memandangkan serangan pengeboman tentera zionis tidak menentu.

“Setakat hari ini, kami sedang berusaha untuk sampai ke Bandar Al Arish iaitu 45 kilometer dari sempadan Rafah bagi menghantar bantuan-bantuan yang telah diperolehi.

“Bantuan tersebut akan ditempatkan di pusat pengumpulan Bulan Sabit Merah Mesir. Kita masih belum terima sebarang jawapan bila bantuan tersebut boleh dihantar ke Gaza kerana buat masa ini Bulan Sabit Merah juga tidak dibenarkan masuk,” katanya yang kini berada di Mesir dalam misi kemanusiaan Semenanjung Gaza.

Menurut Ahmad Safwan, setakat hari ini, sebanyak RM1.5 juta sudah berjaya dikumpul MCM hasil sumbangan pelbagai pihak khususnya rakyat Malaysia untuk menyediakan bantan-bantuan diperlukan rakyat Palestin.

Katanya, MCM mempunyai subsidari di Gaza iaitu Muslim Care Malaysia – Palestin yang dipengerusikan oleh Ahmed Abu Ayesh yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza.

“Beliau menggerakkan bantuan pek makanan sejak hari keempat (serangan) sehingga hari ini. Insya-Allah MCM akan terus menyalurkan bantuan dan pasukan di Gaza akan menggerakkannya,” katanya sambil memaklumkan setakat hari ini hanya 40 trak bantuan dibenarkan memasuki Gaza sejak kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman berkata, pihaknya menggunakan pendekatan berurusan terus dengan syarikat-syarikat strategik yang berada di bumi Gaza untuk menghulur bantuan dengan lebih efektif dan segera.

Beliau yang menetap di Gaza sejak lebih 10 tahun lalu berkata, CGM sudah pun mempunyai perjanjian persefahaman dengan beberapa syarikat pembekal di Palestin supaya memudahkan urusan semua pihak.

“Pada mula konflik tercetus, sebanyak RM1.3 juta disalurkan terus ke Gaza dalam beberapa bentuk bantuan seperti perubatan, tilam, selimut, diesel bagi menggerakkan ambulans, jana kuasa elektrik hospital dan peralatan menyelamat kepada pasukan pertahanan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN