PETALING JAYA: Penduduk Gaza, Palestin yang kini sedang ‘dihujani’ roket dan bom tentera Israel memerlukan bantuan kewangan, perubatan, bahan api dan makanan selepas terputus bekalan sejak hari pertama serangan dilancarkan rejim Zionis, Sabtu lalu.
Melihat perkembangan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kebajikan rakyat Palestin di Malaysia kini giat mengumpulkan dana sebanyak mungkin untuk disalurkan segera ke Gaza supaya penduduk di kota tersebut mendapat segala bekalan dan keperluan untuk meneruskan kehidupan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, melalui NGO gabungan di bawah MyAqsa Defender, pihaknya menyasarkan mengumpul dana sebanyak RM5 juta untuk disalurkan kepada Gaza bagi membangunkan semula kota tersebut dalam masa terdekat ini.
Katanya, serangan terbaharu rejim Zionis yang disifatkan sebagai ‘luar biasa dahsyat’ memusnahkan bangunan-bangunan dan kediaman-kediaman yang sebelum ini dibaiki hasil sumbangan rakyat Malaysia.
“Kita sedang mengatur perjalanan memasuki bumi Gaza bagi menyampaikan bantuan pada masa sama untuk membuka Menara Malaysia yang pertama di Palestin.
Ia masih di peringkat perbincangan memandangkan Israel tidak membenarkan mana-mana bantuan masuk melalui sempadan Mesir serta mengancam mengebom mana-mana bantuan ke Gaza.
“Di peringkat Malaysia, kita melancarkan kempen kesedaran #IsraelCuak iaitu kesinambungan kepada kempen #IsraelKoyak pada tahun 2021 untuk menarik perhatian rakyat tempatan khususnya orang muda mengenai situasi di Gaza.
“Pada fasa kedua pula melibatkan himpunan besar-besaran di seluruh negara dikenali sebagai ‘Road Tour Mega Sejuta Pembela Palestin’ yang akan dimaklumkan perkembangan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Nadir yang juga Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders berkata, sebelum ini pihaknya telah menyalurkan bantuan sebanyak AS$1 juta (RM4,700,000 sekarang) khusus kepada pasukan penyelamat untuk membina lima jentera dan membeli peralatan menyelamat.
“Bagaimanapun, pada serangan terbaharu ini, jentera-jentera tersebut turut terjejas walaupun masih lagi diguna pakai oleh pasukan keselamatan bagi menyelamatkan mangsa di bumi Gaza,” katanya.
Dalam serangan tidak berperikemanusiaan tentera Zionis pada tahun 2021, MyAqsa Defender mengumpul dan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM20 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safwan berkata, sebagai permulaan pihaknya sudah menyalurkan bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM100,000 ke Gaza hasil kerjasama pihaknya dengan Iman Care.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya dalam usaha mengumpul dana kira-kira RM2 juta bagi membina semula masjid baharu bagi menggantikan Masjid Muhammad Al Amin yang musnah dibedil tentera Zionis pada Ahad lalu.
Masjid Muhammad Al Amin dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia pada 2014.
“Semalam, MCM telah menguruskan dana tambahan fasa kedua sebanyak RM275,000 untuk merancakkan lagi aktiviti bantuan kepada mangsa-mangsa peperangan iaitu dua klinik bergerak yang ada Gaza digunakan sepenuhnya untuk aktiviti bantuan.
“Kami telah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa Mesir dengan kerjasama NGO daripada UK (United Kingdom) Miles of Smiles untuk masuk dan beri bantuan perubatan dengan nilai RM500,000 dalam masa terdekat,” katanya.
MCM baru sahaja menyiapkan sebuah pusat beli-belah berkonsepkan wakaf produktif di Gaza City dengan nilai RM5 juta dengan kerjasama Kementerian Wakaf Palestin dan meminta rakyat Malaysia untuk bersama berdoa supaya bangunan tersebut selamat daripada serangan kejam rejim Zionis.
Serangan udara Israel sejak Sabtu lalu telah mengakibatkan 900 kematian di Gaza, termasuk 260 kanak-kanak dan 230 wanita dengan 4,500 orang lagi cedera.
Pada masa sama, dianggarkan seramai 1,000 orang terbunuh di Israel. – UTUSAN











