BAGAN DATUK: Polis menahan enam remaja lelaki bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir membabitkan gadis berusia 14 tahun di sebuah rumah di Hutan Melintang, September lalu.
Kesemua suspek berusia 15 hingga 17 tahun dengan lima daripada mereka masih bersekolah, diberkas pihak polis semalam.
Difahamkan, kejadian rogol itu terbongkar selepas mangsa menceritakan apa yang dialaminya kepada seorang rakan sebelum rakannya memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu kelmarin yang dibuat ibu mangsa pada pukul 8.30 malam.
Katanya, wanita itu diberitahu mengenai kejadian rogol bergilir-gilir membabitkan anaknya yang merupakan pelajar Tingkatan Dua oleh pihak sekolah.
“Berdasarkan siasatan, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 24 September lalu sekitar pukul 2.30 pagi di sebuah rumah di Hutan Melintang.
“Remaja perempuan itu telah dijemput oleh rakan sekolahnya dan dibawa ke rumah tersebut di mana terdapat lima remaja lelaki lain sedang berehat.
“Mangsa kemudiannya telah diajak melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir dengan lima remaja tersebut kecuali lelaki yang mengajaknya ke rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, lima daripada suspek yang ditahan itu bersekolah di sekolah sama dengan mangsa.
Katanya, kesemua mereka direman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan.
“Dengan tertangkapnya semua suspek, maka kes ini berjaya diselesaikan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN