Elaun khas pasukan SMART akan dinaikkan - Ahmad Zahid

Elaun khas pasukan SMART akan dinaikkan – Ahmad Zahid

UNIT responder dan aset Nadma membuat demostrasi pada majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 di Markas SMART, Puchong, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Kerajaan bercadang untuk menaikkan elaun khas bagi anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terutama yang terbabit misi mencari dan menyelamat bencana di dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan elaun itu munasabah memandangkan pasukan itu kini antara pasukan mencari dan menyelamat terbaik di dunia.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan agar Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengkaji perkara itu sebelum kadar munasabah ditentukan.

“Kami harap kadar baharu elaun itu kelak akan memberi motivasi kepada pasukan itu sekali gus menggalakkan mereka untuk menjadi pasukan yang terbaik.

“Elaun itu ketika ini sikit. Tadi saya sudah minta Ketua Pengarah untuk kaji semula dan saya harap ia dapat dilakukan secepat mungkin.

“Kerajaan menghargai peranan dan pembabitan pasukan itu dalam siri mencari dan menyelamat terutama di Turkiye baru-baru ini sehingga mendapat pengiktirafan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 (BKN 2023) di sini, hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya turut mencadangkan supaya pasukan ini diperbesarkan kepada tujuh agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahmad Zahid berkata, ketika ini, pasukan itu disertai 141 anggota membabitkan tiga agensi penyelamat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, semua pihak perlu memahami bahawa pengurusan bencana bukan hak mutlak kerajaan sebaliknya usaha menangani bencana adalah urusan semua pihak.

Justeru, katanya, penglibatan secara kolektif daripada semua agensi kerajaan di peringkat pusat, negeri dan daerah, semua lapisan masyarakat, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pihak berkepentingan lain amat dituntut.

“Matlamat ini selari dengan komitmen negara di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015 hingga 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya