PADAWAN: Seorang lelaki yang juga merupakan ejen hartanah mengalami kerugian sebanyak RM400,000 selepas ditipu dan ditawarkan kerja sambilan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa tertipu sejak Ogos lalu setelah melayari laman web sebuah ‘Syarikat Active Ecommerce CMS’ dan dimasukkan dalam ruangan chat aplikasi Telegram.
“Menurut mangsa, beliau melayari laman web ‘Syarikat Active Ecommerce CMS’ pada penghujung bulan Ogos 2023, sebelum nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu group aplikasi Telegram.
“Mangsa kemudian ditawarkan kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan lumayan. Seterusnya, mangsa diberikan satu pautan untuk membolehkan mangsa mendaftar akaun bagi menyelesaikan tugasan dan penerangan cara-cara tugasan yang perlu dilakukan iaitu pembayaran stok barang syarikat yang dipesan oleh pelanggan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, setiap barang yang diminta oleh pelanggan, mangsa dikehendaki membuat bayaran yang mana dijanjikan keuntungan.
“Mangsa melakukan sebanyak (45) transaksi pemindahan wang secara online keseluruhan berjumlah lebih kurang RM400,000 ke (12) akaun bank yang berlainan pada penghujung bulan Ogos sehingga penghujung bulan september 2023.
“Menurut mangsa, dia kemudiannya hanya menerima keuntungan berjumlah RM15,985.00 pada dua minggu pertama sahaja.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila tugasan pembayaran barang yang diminta semakin meningkat dan jumlah barang yang perlu dibayar turut semakin bertambah sedangkan tiada keuntungan diterima mangsa selepas itu. Mangsa cuba menghubungi syarikat suspek untuk meminta pulangan modal, namun gagal,” tambah Mohd Azman.
Jelasnya, bertindak selepas sedar ditipu dengan nilai kerugian yang dialami mangsa berjumlah lebih RM400,000.00, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Justeru, kata Mohd. Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan atau ‘too good to be true’.
“Maklumat terperinci dan semak latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan atas talian perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya. -UTUSAN