Edisi al-Quran khas sasar kutip dana RM3 juta

Edisi al-Quran khas sasar kutip dana RM3 juta

AHMAD Maslan ketika melancarkan edisi khas al-Quran Mushaf Palestin Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Restu menyasarkan kutipan dana sehingga RM3 juta menerusi cetakan 30,000 naskhah edisi khas al-Quran Mushaf Palestin dengan terjemahan bahasa Inggeris.

Edisi khas mushaf Palestin itu diterbitkan demi semangat dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini ditindas dengan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel.

Majlis pelancaran mushaf itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Ahmad berkata, sumbangan dana wakaf bernilai RM100 senaskhah itu akan disalurkan 100 peratus untuk menyokong umat Palestine di Gaza dalam aspek perubatan dan makanan.

Menurutnya, sebaik sahaja diinfak sepenuhnya, kesemua 30,000 naskhah al-Quran edisi mushaf Palestin itu akan diterbangkan ke Palestin untuk diedarkan kepada penduduk negara itu.

“Al-Quran Mushaf Palestin ini memayungi identiti seni Palestin di setiap juzuknya yang mewakili setiap daerah di negara itu.

“Antara rakan strategik yang bekerjasama dalam penghasilan mushaf ini ialah Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan edisi khas mushaf itu di Kompleks Nasyrul Quran di sini, semalam.

Katanya, dana yang diperoleh daripada infak al-Quran itu akan digunakan bagi menggerakkan usaha ke arah pembinaan Kompleks Masjid Saidina Ali yang merangkumi Pusat al-Quran dan al-Hadith di Gaza.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, pelancaran kempen infak al-Quran edisi Palestin itu sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin sekali gus dapat membantu membangunkan semula Palestin yang musnah dalam peperangn ketika ini.

Katanya, sempena pelancaran itu, sumbangan bernilai RM150,000 dalam bentuk pek makanan diserahkan kepada rakyat Palestin selain dana sebanyak RM25,300 yang disumbangkan oleh kakitangan Yayasan Restu, Kompleks Nasyrul Quran dan Airport Limo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN