MELAKA: Satu tengkorak dan tulang dipercayai milik manusia ditemui berhampiran sebuah bangunan di Pantai Eye On di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia ditemui orang awam yang kemudiannya membuat laporan berhubung penemuan itu pada pukul 6.32 petang.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Melaka Tengah telah ke lokasi dan pemeriksaan menemui satu tengkorak dan tulang di atas pasir dalam kawasan semak.
“Satu tulang turut ditemukan kira-kira lima meter daripada tengkorak. Seluar jeans dalam keadaan separuh tertimbus dalam pasir berada di sebelah tulang berkenaan.
“Menurut saksi, dia menjumpai tengkorak itu pada pukul 6 petang ketika berjalan-jalan di tepi pantai melalui kawasan yang bersemak. Saksi juga tidak melihat apa-apa yang mencurigakan di sekitar kawasan tengkorak ditemui,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, setakat ini tiada kes laporan orang hilang dilaporkan di Balai Polis Melaka Tengah dan identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Menurutnya, tengkorak dan tulang tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk siasatan.
“Saya menyeru agar orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga atau maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian ini,” ujarnya. – UTUSAN