PETALING JAYA: Dua orang maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Jalan Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pemandu dan penumpang yang menaiki Proton Wira dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kejadian pada pukul 4.07 pagi.
Dua mangsa dalam kereta membabitkan seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun, pemandu van iaitu seorang lelaki dianggarkan berusia 50-an terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










