KUALA LUMPUR: Sebanyak dua kes dituduh di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Seksyen 17A tidak hanya menyasarkan organisasi semata-mata, namun, individu termasuk ahli lembaga pengarah atau mereka bertanggungjawab dalam entiti tersebut.
“Ini termasuk pengarah, pengawal, pegawai, rakan kongsi, atau individu yang berkaitan dengan pengurusan sesuatu organisasi boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi melainkan mereka boleh membuktikan mereka tidak bersalah melalui usaha wajar.
“Sehingga kini, dua kes berlaku dan didakwa di mahkamah iaitu melibatkan kes penyelenggaraan syarikat luar pesisir pada pada Mac 2021 manakala kes kedua berkaitan sebuah syarikat perdagangan, April tahun ini.
“Ini menunjukkan dedikasi kami kepada menegakkan undang-undang dan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memerangi rasuah,” katanya selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai peruntukan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 berhubung lebihan harta dimiliki seseorang individu, Azam berkata, ia dilihat efektif bagi pihaknya mendapatkan maklumat berkaitan sumber pemilikan aset terutama membabitkan penjawat awam.
“Kita akan lihat kepada deklarasi dan sekiranya bercanggah dengan apa yang disiasat, maksudnya seseorang itu boleh dituduh kerana membuat kenyataan tidak benar.
“Kedua, kerana mereka membabitkan penjawat awam.. sekiranya didapati mempunyai harta yang berlebihan daripada kemampuan, jadi, ia satu kesalahan di bawah Seksyen 36 (3) kerana mereka perlu memperjelas punca kekayaan,” jelasnya. -UTUSAN