Dewan Rakyat: Tiada sangkaan jahat dalam ucapan MP Pengkalan

Dewan Rakyat: Tiada sangkaan jahat dalam ucapan MP Pengkalan Chepa

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan kandungan perbahasan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, berhubung isu petikan tafsir ayat suci al-Quran seorang pemimpin DAP, tidak mempunyai ciri-ciri sangkaan jahat. 

Datuk Ramli Mohd. Nor dalam hujahan berkata, Ahmad Marzuk tidak menjangkau peraturan berhubung sangkaan jahat yang dibangkitkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How kerana isu petikan tafsir al-Quran itu sudah berlaku dan menjadi akademik. 

Jelasnya, tiada butiran yang menjangkau maksud sangkaan jahat dalam keterangan Howard walaupun beliau diberi peluang untuk menjelaskannya.  

“Adalah wajib seseorang ahli Parlimen itu menjelaskan frasa yang mana membawa kepada sangkaan jahat, dan berdasarkan bukti rakaman, ciri-ciri dan butiran ini tidak wujud.

“…Dan sepanjang Pengkalan Chepa berucap, tidak sampai kepada sangkaan jahat memandangkan isu ini memang sudah sedia berlaku dan berlegar dalam media massa.

“Maka, saya mentafsirkan, isu ini adalah akademik yang dibangkitkan dalam ucapan perbahasan beliau dalam Dewan. 

“Tiada ciri-ciri dan butir-butir dalam bahagian atau frasa diketengahkan YB Ipoh Timor yang menyokong dakwaan YB Pengkalan Chepa melanggar Peraturan Mesyuarat 36(6) seperti dibangkitkan YB Ipoh Timor,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini. 

Selepas itu, Howard berkata, beliau akan merayu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung keputusan itu kerana tetap berpendapat Ahmad Marzuk mengeluarkan sangkaan jahat terhadapnya. 

Semalam, isu petikan tafsiran ayat al-Quran menghangatkan sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 sehingga mencetus perang mulut antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ia berlaku selepas Ahmad Marzuk membangkitkan tindakan Howard yang memetik tafsiran ayat al-Quran sebelum ini.

Howard bagaimanapun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) yang mendakwa Ahmad Marzuk membuat sangkaan jahat dengan memetik namanya.

Beliau kemudian mempersoal sama ada nukilan penterjemahannya itu salah kerana ada pihak yang arif menyatakan ia tidak salah, selain beliau sudah memohon maaf mengenai perkara itu.

Dalam video dikongsi di aplikasi TikToknya sebelum ini, Howard memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Dalam video itu, beliau juga mengkritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam lain. 

Beliau kemudian memetik sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa’ tersebut dan mengaitkannya dengan usaha Pas dalam melawan kerajaan.

Katanya, pentadbiran sekarang adalah kerajaan yang sah kerana dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu supaya siasatan dan tindakan dikenakan terhadapnya kerana didakwa menghina Islam. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga mengingatkan beliau supaya tidak mengulangi perbuatan memetik atau merujuk ayat-ayat al-Quran dalam memberi pandangan berkaitan politik bagi mengelakkan fitnah dan salah tafsir. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN