KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah melarang mana-mana pihak untuk melaungkan takbir dan mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam sebarang himpunan solidariti Palestin di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, himpunan solidariti yang dianjurkan oleh Viva Palestina tidak seharusnya dijadikan isu kerana himpunan tersebut sebenarnya turut melibatkan laungan takbir dan mengecam Netanyahu.
“Saya tengok balik himpunan ini yang dianjurkan oleh Dr. Musa Nordin, isu takbir ini tiada isu sebenarnya kerana Nurul Izzah Anwar dan Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin melaungkan takbir semasa berucap.
“Malah, ramai yang takbir, tidak ada halangan. Penganjur cuma mengingatkan ia himpunan pelbagai kaum supaya semua orang boleh sertai dan berharap ia menjadi sebuah himpunan yang inklusif,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bukan itu sahaja, katanya, kerajaan turut menggalakkan mana-mana pihak untuk mengadakan himpunan solidariti tanpa sebarang larangan mahupun syarat tertentu.
“Jadi, soal benarkan atau tidak benarkan takbir dan sebagainya, saya tak fikir itu isu utamanya, saya muslim juga, takbir, ertinya melaungkan kebesaran Allah, tak ada khilaf antara kita.
“Hal ini cuma penganjur itu mengikut budi bicara dan kefahaman, itu sahaja. Kalau nak anjurkan 10,000 ke 20,000 orang, takbirlah. Kalau saya ada masa, saya akan ikut serta dan saya akan takbir sekuat-kuatnya,” katanya.
Jelasnya, pendirian kerajaan terhadap isu Palestin juga tidak pernah berubah dalam soal pengiktirafan dan simpati terhadap nasib mereka.
“Apakah boleh atau tidak mengecam Netanyahu, pendirian itu juga jelas, hakikatnya bahawa kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan (kepada Israel).
“Tapi, kalau himpunan dianjurkan oleh satu pertubuhan kemudiannya mengenakan apa-apa sekatan, itu harus dilihat secara fakta kejadian pada waktu itu, dia tak mencerminkan sepenuhnya pendirian kerajaan dan sebahagian besar umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian,” katanya.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kerajaan mengeluarkan apa-apa garis panduan tentang perkara-perkara yang boleh diucapkan atau tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman.
Ketika ditanya oleh Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) sama ada kerajaan bersedia untuk memendekkan tempoh lima hari notis kepada 48 jam untuk mengadakan himpunan solidariti, Saifuddin memberi jaminan pihak polis akan menggunakan budi bicaranya untuk memberi kebenaran sewajarnya.
“Pihak polis akan menggunakan kuasa budi bicara sesuai dengan keadaan semasa, sekarang ini mungkin diamalkan mengikut setiap permohonan, bukan pada sepanjang masa.
“Sekarang ini, permohonan untuk mengadakan himpunan solidariti berlangsung dengan begitu banyak sekali, saya percaya polis akan mengambil semangat untuk membantu daripada menghalang,” katanya.-UTUSAN










