KUALA LUMPUR: “Bukan saya perlu jawab (soalan anda).”
Demikian jawapan ringkas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika ditanya Zakri Hassan (PN-Kangar) berkenaan bila pelantikan menteri KPDN baharu dilakukan.
Fuziah berkata, beliau bukan dalam kapasiti yang sesuai menjawab soalan tersebut kerana keputusan pelantikan menteri KPDN terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Berkenaan lantikan menteri, kita serah kepada Perdana Menteri dan bukan saya jawab,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan, dua ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dinamakan sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Menteri KPDN susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan. Seorang lagi pemimpin Amanah iaitu Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia berkata, setakat ini, masih belum ada kecenderungan untuk jawatan menteri di KPDN diisi sesiapa meskipun sudah terlalu lama sejak Allahyarham Salahuddin meninggal dunia, 23 Julai lalu.
Ditanya jika Adly menjadi Menteri KPDN dan menyebabkan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan kosong, kata sumber, seseorang dari Amanah akan menggantikan kekosongan tersebut kerana kuota parti itu masih ada.
Jelas sumber, Anwar kemungkinan besar akan merombak semula seluruh Kabinet berdasarkan prestasi ahli Jemaah Menteri yang tidak cemerlang.
Ketika ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali diarahkan memangku tugas bagi jawatan berkenaan buat sementara waktu.
Allahyarham Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, pada pukul 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Beliau yang memulakan inisiatif Rahmah dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada 21 Julai lalu untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum pemeriksaan doktor pakar mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Amanah mempunyai lapan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat iaitu Kuala Selangor (Dzulkefly); Hulu Langat (Mohd. Sany Hamzan); Shah Alam (Azli Yusof); Kota Raja (Datuk Seri Mohamad Sabu kini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan); Sepang (Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi kini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Alor Gajah (Adly kini Timbalan Menteri Pertahanan); Sri Gading (Aminolhuda Hassan) dan Pulai (Suhaizan Kayat). -UTUSAN










