KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan RM1 juta menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) sebagai tindakan segera kerajaan Malaysia susulan serangan Israel ke atas rakyat di Semenanjung Gaza, Palestin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyaluran bantuan itu dikendalikan Kementerian Luar.
“Sebagai tanda solidariti saya menyeru Ahli Yang Berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan dalam tabung yang disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker (Yang Dipertua).
“Saya harap tabung itu dapat diisi dan (hasil kutipan itu) kita serahkan kepada Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus memudah cara urusan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin dengan segera.
Beliau juga menyarankan semua pihak menggunakan #SolidarityForPalestine dalam media sosial masing-masing.
“Insya-Allah, hari Jumaat ini kita tidak memerlukan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan menganjurkan perhimpunan menyokong Palestin.
“Kita semua bersama-sama untuk turun bagi mendukung perhimpunan Palestin,” katanya.-UTUSAN