KUALA LUMPUR: Sebanyak 29.5 peratus nilai bagi harga makanan, minuman bukan alkohol dicatatkan iaitu paling banyak mempengaruhi Indeks Harga Pengguna (IHP) ketika ini.
Ini diikuti dengan nilai harga bagi kumpulan perumahan iaitu pada kadar 23.8 peratus dan pengangkutan pada 14.6 peratus berdasarkan kepada harga 851 barangan dan perkhidmatan setiap bulan untuk pengiraan IHP.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir berkata, kadar inflasi biasanya diukur melalui IHP bagi menilai perubahan harga purata produk dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan untuk satu tempoh tertentu dan perubahan harga mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada masa ditetapkan.
Disebabkan itu, katanya, kadar inflasi pada bulan lalu mencatatkan peningkatan dengan kadar lebih perlahan kepada 1.9 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh 30 bulan.
“Ini disokong oleh penurunan berterusan indeks bagi beberapa komponen seperti kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, kumpulan pengangkutan serta kumpulan restoran dan hotel.
“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa komponen yang mencatatkan peningkatan seperti kumpulan pakaian dan kasut serta minuman alkohol dan tembakau,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mewakili Kementerian Ekonomi yang menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kekeliruan IHP yang menurun berterusan sehingga ke paras paling rendah, namun, ada mendakwa harga barang terus meningkat.
Namun, katanya, penyederhanaan inflasi itu bukan bermaksud penurunan paras harga tetapi merujuk kepada peningkatan harga barangan pada kadar yang lebih perlahan.
“Walaupun pengguna akan mendapat manfaat dari kejatuhan harga barangan dan perkhidmatan atau deflasi pada peringkat awal, namun, kesejahteraan rakyat mungkin akan terjejas akibat daripada kejatuhan kadar gaji dan upah atau lebih buruk lagi kehilangan pekerjaan.
“Ini disebabkan oleh pengeluar tidak dapat menjual barangan atau perkhidmatan pada harga yang dapat menampung kos pengeluaran yang akhirnya boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi.
Justeru, katanya, kerajaan lebih menumpukan kepada pelaksanaan dasar monetari dan dasar sektoral yang dapat menjamin kestabilan pengeluaran dan bekalan, terutamanya makanan yang akan membantu mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Beliau juga memberi jaminan mengenai soal pelaksanaan subsidi dan jangkaan inflasi tahun depan pada sekitar 2.1 hingga 3.6 peratus.
“Memang ketika ini terdapat usaha untuk tingkatkan bekalan dan jaminan makanan untuk rakyat, sebab kalau rujuk inflasi, kumpulan paling besar menyumbang kadar inflasi adalah barang makanan.
“Jadi, kita memastikan kumpulan sasaran mempunyai pendapatan mencukupi tapi padamasa sama memastikan bekalan makanan lebih terjamin,” katanya. -UTUSAN