Dewan Perniagaan Industri Jerman setuju kongsi kepakaran Majlis TVET

Dewan Perniagaan Industri Jerman setuju kongsi kepakaran Majlis TVET

AHMAD Zahid Hamidi mengadakan perjumpaan dengan wakil Bosch-Haus serta DIHK menerusi lawatan kerjanya ke Berlin, Jerman. - GAMBAR TEAM TPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi membentuk satu kerjasama dengan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkongsian kepakaran bersama DIHK itu bagi membantu kerajaan mencipta rangka tindakan unik yang disesuaikan dengan program TVET Malaysia.

Beliau berkata, menerusi persetujuan itu, Dewan Perniagaan Jerman Malaysia akan mengetuai dalam penyelarasan antara syarikat-syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat yang khusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia.

“Dewan Perniagaan Jerman juga akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan program German Dual Vocational Training (GDVT) yang melibatkan penyertaan industri Malaysia.

“Ini akan membantu menyelaraskan tenaga kerja mahir Malaysia bersesuaian piawaian Jerman seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan perjumpaan dengan wakil Bosch-Haus serta DIHK menerusi lawatan kerjanya ke Berlin, Jerman ketika ini.

Pada lawatan itu, Ahmad Zahid juga berkesempatan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan TH Brandenburg University of Applied Sciences.

MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama akademik untuk pelajar Jerman A-level (GAPP), meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, peluang latihan tenaga pengajar (ToT) dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi TVET Negara berkata, masa depan industri adalah cerah dan kerjasama dengan institusi mantap seperti di Jerman berupaya memangkin ekosistem TVET di Malaysia.

“Kejayaan pelan tindakan itu nanti akan bergantung pada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran sedia ada.

“Insya-Allah dengan komitmen dan kerjasama yang utuh, saya yakin seperti di Jerman, Jepun dan banyak negara maju lain, TVET akan menjadi pilihan utama pelajar serta menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja negara,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya