KEPALA BATAS: Persatuan Geologi Malaysia (GSM) berhasrat terus memberi pendedahan kepada generasi muda terutama yang masih berada di bangku sekolah mengenai kepentingan bidang geologi pada masa depan.
Presidennya, Prof. Madya Dr. Mohd. Hariri Arifin berkata, ramai dalam kalangan mereka khususnya pelajar hanya mengetahui mengenai bidang itu selepas menamatkan pengajian masing-masing di peringkat matrikulasi atau diploma.

“Kursus berkaitan geologi ini sebenarnya sudah banyak ditawarkan di universiti-universiti terutama di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), UM (Universiti Malaya), USM (Universiti Sains Malaysia), UMK (Universiti Malaysia Kelantan), UMT (Universiti Malaysia Terengganu) dan UMS (Universiti Malaysia Sabah).
“Kita tidak mahu mereka lambat tahu (mengenai geologi). Oleh itu kita cuba bagi pendedahan seawal mungkin supaya mereka boleh belajar betul-betul dan memilih bidang pengajian ini apabila melanjutkan pengajian ke universiti kelak,” katanya.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu untuk program Jom STEM: Bicara Geo Bersama Persatuan Geologi Malaysia sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Setia Fontaines, Bertam di sini, semalam.
Program anjuran S.P. Setia Foundation itu melibatkan kira-kira 40 orang murid dan pelajar daripada dua buah sekolah berdekatan termasuk mereka yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan atau B40.
Selain GSM, hadir sama berkongsi pandangan serta maklumat berkaitan geologi ialah beberapa wakil pelajar daripada Pusat Pengajian Sains Fizik, USM.
Dalam pada itu, Mohd. Hariri berpuas hati dengan sambutan yang diterima sepanjang program tersebut yang turut dilangsungkan dengan beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan mencari fosil serta melengkapkan teka silang kata berkaitan geologi.
“Peserta banyak didedahkan mengenai apa itu ahli geologi dan apa itu ahli geofizik serta peluang kerjaya berkaitan bidang ini.
“Pada masa sama, kita percaya jika berlaku lagi insiden tanah runtuh, bencana seperti banjir dan sekarang isu nadir bumi atau tenaga yang boleh diperbaharui seperti geothermal dan sebagainya, mungkin ini akan memberi lebih pengalaman kepada mereka,” ujar beliau.
Tambahnya, dalam hal ini, GSM juga sedia menjalin kerjasama lebih erat dengan S.P. Setia Foundation bagi menjayakan pelbagai program berkaitan geologi khususnya pada masa depan. – UTUSAN










