Calon PN antara terawal mengundi PRK Pelangai

Calon PN antara terawal mengundi PRK Pelangai

KASIM Samat hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, Bentong yang dijadikan pusat pengundian untuk PRK DUN Pelangai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat antara pengundi terawal hadir bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Beliau tiba pada pukul 8.20 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi yang dijadikan pusat pengundian untuk pilihan raya berkenaan.

Dua lagi calon tidak mengundi kerana mereka bukan pemilih yang berdaftar di kawasan Pelangai.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang dicabar Kasim dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Dijangka 16,383 pengundi akan menjalankan tanggungjawab dalam PRK DUN Pelangai pada hari ini bagi memilih seorang wakil rakyat yang baharu.

Sebanyak sembilan pusat mengundi dan 30 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Hanya seorang daripada tiga calon yang mempertaruhkan nasib akan terpilih bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan rasmi PRK Pelangai dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam setelah pengiraan dibuat membabitkan sembilan pusat pengundi dan 30 saluran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN